Keberangkatan seorang lelaki dari Kampung Pandan, Muhammad Alif Ajmal Hamidan, 35, ke Tanah Suci baru-baru ini untuk menziarahi tanah kubur ibu ayah mereka.
Bukan sekadar memenuhi panggilan umrah, tetapi kerana ia menjadi peluang untuk menziarahi pusara kedua ibu bapanya yang meninggal dunia di Makkah beberapa tahun lalu.
Baca juga: Pempengaruh Faiz Aizif Dijemput Rasmi Majlis Anugerah Sekolah, Siap Belanja Tablet Untuk Pelajar!
TANAH KUBUR IBU AYAH DI MAKKAH, IMPIAN ANAK NAK ZIARAH TERCAPAI
Program Umrah 1,000 Asnaf anjuran Ikhlas.com Travel & Umrah Sdn. Bhd. telah membuka pintu rezeki yang tidak pernah disangka-sangka. Alif ternyata antara penerima manfaat yang paling tersentuh dengan peluang berharga itu.
Menurut Alif, sejak pemergian ibunya pada tahun 2018 dan ayahnya pada tahun 2022, dia sering memendam keinginan untuk ke Makkah. Namun, komitmen keluarga serta kekangan kewangan membuatkannya hanya mampu memasang niat tanpa kepastian.
“Setiap kali saya teringat arwah mak dan ayah, timbul rasa rindu yang tidak dapat digambarkan. Saya cuma berharap satu hari nanti dapat menziarahi kubur mereka, membaca doa dan menghadiahkan Al-Fatihah di sana,” ujarnya.
Arwah ibunya, Razidah Ibrahim, merupakan seorang pesara guru, manakala ayahnya bekerja sebagai tukang masak dan pernah berkhidmat bersama Tabung Haji. Kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir di Tanah Suci ketika menetap di sana.
Alif menceritakan bahawa dia hanya mengisi borang permohonan program umrah tersebut tanpa meletakkan sebarang harapan besar.
Namun, selepas dua bulan, dia dihubungi oleh pihak Ikhlas.com untuk sesi temuduga dan pemilihan. Ketika menerima berita bahawa namanya terpilih, Alif akui dia tidak mampu berkata apa-apa.
“Saya hanya terdiam. Terasa seperti doa saya selama ini benar-benar dijawab. Dalam hati saya, kalau Allah izinkan, pasti Dia permudahkan. Kalau tak terpilih pun, sekurang-kurangnya saya sudah cuba,” luahnya.
Perjalanan paling bermakna dalam hidup
Kesempatan untuk berada di Tanah Suci selama sembilan hari dalam program tajaan penuh ini memberi ruang kepada Alif untuk menziarahi pusara kedua ibu bapanya di Tanah Perkuburan Al Sharayea.
“Setiap langkah ke tanah perkuburan itu seperti menghilangkan beban rindu yang saya simpan bertahun-tahun,” ujarnya.
Kehidupan sebagai bapa kepada lapan orang anak serta tanggungjawab harian membuatkannya hampir berputus asa sebelum ini. Namun dia tetap berusaha menyimpan sedikit demi sedikit dengan harapan suatu hari dapat memenuhi impian yang terbuku di hati.
“Alhamdulillah, Allah gantikan dengan rezeki yang saya tidak pernah bayangkan. Saya anggap ini hadiah paling berharga dalam hidup saya. Saya amat bersyukur,” kata Alif.
Baca juga: Ibu Cari Hampir Setengah Jam, Anak Ditemui Meninggal Dalam Istana Belon Yang Dikempiskan
Sumber: Ikhlas
