Zara Qairina ‘kecil’ kini menjadi sebutan ramai apabila kisahnya, tular di laman sosial. Bayi ini dinamakan sempena nama arwah remaja, Zara Qairina, yang sebelum ini mencuri perhatian seluruh negara dengan kisah keperibadian mulianya.
Walaupun baru berusia 10 hari, perjalanan hidup bayi kecil ini cukup menyentuh hati kerana lahir dalam serba kekurangan dan penuh cabaran.
Baca juga: “Saya Maafkan Mereka…” Gelandangan Dedah Apa Sebenarnya Berlaku, Saat Terima Nasi Tulang Ayam
KISAH ZARA QAIRINA ‘KECIL’ UNDANG TANGISAN RAMAI

Gambar oleh Norazlina Sadzali
Nama Zara Qairina yang telah menjadi simbol kekuatan dan kebaikan, kembali diangkat apabila seorang jururawat, Norazlina Sadzali, berkongsi kisah menyayat hati tentang bayi ini di Facebook.
Menurutnya, kisah bermula apabila si ibu berdepan dengan pelbagai ujian termasuk masalah rumah tangga, kewangan dan kesihatan.
“Nama saya Zara Qairina, baru berusia 10 hari. Tiada suara bapa mengiqamatkan saya masa saya lahir. Saya hanya dengar suara mak berselawat di telinga sesekali teresak-esak..” tulisnya.
Kata jururawat yang lebih mesra dipanggil Misi Konah, keadaan keluarga bayi ini amat mencabar. Si abang yang berusia 11 tahun tidak lagi bersekolah kerana masalah jarak dan kewangan.
Malah, sepanjang kehamilan, abanglah yang menjadi peneman setia ibunya untuk ke klinik yang kadang-kadang menaiki e-hailing, menumpang kawan atau berjalan kaki sejauh 5 kilometer.
Menurut perkongsian itu lagi, si ibu sedang menempuh fasa perpisahan dengan suami. Tambah menyedihkan, wanita itu juga menghidap kencing manis dan sering perlu ke klinik untuk rawatan.
“Mak selalu kena datang klinik kerana alami kencing manis. Misi pun sudah faham kalau mak tak dapat datang, mak lewat sampai. Misi selalu datang ke rumah cari mak di rumah,” sambungnya lagi.
Bayi kecil ini turut mengalami jaundis dengan bacaan kuning yang tinggi, namun si ibu berdepan kesukaran untuk membawa anaknya ke klinik dengan kerap kerana kekangan kewangan.
Walau dalam kesempitan hidup, si ibu tetap memilih nama Zara Qairina untuk anaknya kerana terinspirasi daripada kisah remaja yang dikenang ramai kerana ketabahan dan kebaikan.
“Misi Konah tanya siapa nama bayi comel ini? Mak kata nama pelajar sekolah agama yang meninggal di Sabah, Zara Qairina. ALLAH, sebaknya,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu ternyata menyentuh hati warga maya. Ramai meluahkan rasa simpati dan berniat untuk menghulurkan bantuan.
Menurut Norazlina, walaupun bantuan kewangan mahu disalurkan, ibu bayi itu tidak mempunyai akaun bank sendiri.
Mujurlah, kisah ini mendapat perhatian pihak berwajib. Difahamkan abang kepada bayi kecil itu kini sedang dalam proses pertukaran sekolah dari Kuala Lumpur ke Perak.
Sementara itu, bacaan jaundis Zara juga menunjukkan perkembangan positif walaupun masih belum normal sepenuhnya.
Di media sosial, doa dan kata-kata semangat mengalir deras buat keluarga kecil ini. Ramai berharap agar Zara Qairina kecil membesar menjadi anak yang kuat, solehah dan sentiasa dilindungi Allah SWT.
“Satu yang pergi, seluruh dunia merasai pemergiannya. Tapi hari ini ada beberapa Zara Qairina (yang kecil) lahir. Semoga menjadi anak yang solehah dan rezeki keluarga bayi melimpah ruah seperti air zam zam,” komen warga maya.
Sumber: Norazlina Sadzali
FT Image: Norazlina Sadzali
