Perkembangan terbaru kes Zara Qairina Mahathir terus menjadi perhatian apabila pakar perunding psikiatri forensik mengesahkan bahawa kesakitan psikologi yang dialami remaja itu adalah benar dan berpotensi memberi kesan jangka panjang.
Keterangan tersebut didedahkan dalam prosiding inkues yang berlangsung semalam.
PAKAR SAHKAN ZARA QAIRINA ALAMI KESAKITAN PSIKOLOGI JANGKA PANJANG

Gambar arkib NSTP: Prosiding inkues Zara Qairina di bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Menurut laporan Harian Metro, Dr Chua Sze Hung berkata psikologi seseorang kanak-kanak adalah sangat peribadi dan banyak dipengaruhi oleh bagaimana individu itu mentafsir serta memproses konflik yang berlaku dalam hidup mereka.
Ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Dr Chua menjelaskan bahawa konflik yang berlaku tidak semestinya berlaku secara berterusan untuk memberi kesan mendalam terhadap emosi seseorang.
“Ia lebih penting mengenai bagaimana dia mentafsir dan memproses konflik kerana perkara itulah yang akan menentukan apa yang dirasainya.
“Saya bersetuju bahawa tahap penularan konflik itu tidak diketahui. Ia mungkin konflik yang sekejap ada, sekejap tiada (berkala) dan bukannya jenis konflik 24 jam seminggu. Namun, itu tidak bermakna kesakitan tersebut tidak benar.
“Perlu ditekankan bahawa di dalam diari-diari tersebut, ia bukan sekadar kekecewaan atau kemarahan biasa. Ia adalah kesakitan sehingga ke tahap di mana dia meluahkan keinginan untuk tidak lagi hidup dan keinginan agar ibunya juga tidak hidup,” kata saksi ke-67 yang dipanggil semula itu kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Khamis.
Baca juga: Guru Wanita Didakwa Amang Seksual Pelajar 14 Tahun Di Bawah Pokok & Hantar Gambar Alat Sul*t
Peguam Rizwandean M Borhan menyoal sama ada catatan diari tersebut hanya menggambarkan tindak balas emosi jangka pendek atau konflik yang didakwa berlaku antara Zara Qairina dan ibunya, Noraidah Lamat, mungkin hanya bersifat sementara mengikut keadaan.
Mengulas perkara itu, Dr Chua berkata tiada kepastian sama ada pertikaian itu termasuk satu insiden yang didakwa melibatkan Zara Qairina dimarahi ibunya kerana menggunakan telefon bimbit benar-benar berlaku kerana tiada saksi yang menyaksikannya.
“Bagaimanapun, jika ini adalah penulisan peribadi, berkemungkinan besar ia mewakili dirinya yang sebenar. Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa dia perlu menulis sesuatu yang tidak benar. Saya bersetuju bahawa kita tidak tahu konteks di sebaliknya.
“Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana si mati sebenarnya mentafsir dan merasainya, yang akhirnya mengakibatkan kesakitan tersebut.
“Melihat kepada tindak balas kanak-kanak itu di dalam diari-diari berkenaan, di mana terdapat luahan kemarahan yang amat sangat serta keinginan mati terhadap dirinya sendiri dan orang lain, berdasarkan siri catatan tersebut, adalah tidak mustahil bahawa ia (kesan psikologi) bersifat jangka panjang,” katanya.

Konflik dengan ibu bapa bukan faktor langsung kes kematian Zara Qairina – Saksi
Konflik antara anak dan ibu bapa yang dianggap berlaku bukan faktor langsung yang membawa kepada kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, Mahkamah Koroner turut diberitahu semalam.
Dr Chua, 43, yang bertugas di Hospital Mesra Bukit Padang berkata, konflik itu sebaliknya diklasifikasikan sebagai faktor pendorong atau tidak langsung dalam penilaian psikiatri berhubung kematian mangsa.
“Saya ingin menegaskan bahawa konflik yang dianggap berlaku antara anak dan ibu bapa bukanlah faktor langsung dalam kes ini. Pada pandangan saya, faktor langsung ialah soal siasat yang memberi tekanan dan pengasingan yang berlaku pada waktu pagi dan malam insiden,” katanya.
Saksi ke-67 itu berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Mengulas lanjut mengenai penilaian terhadap keadaan mental dalaman mangsa, Dr Chua berkata, interaksi lisan semata-mata adalah petunjuk yang kurang tepat kerana golongan remaja cenderung menyembunyikan tekanan yang dialami demi menyesuaikan diri dan sering menampilkan “diri yang palsu” kepada orang sekeliling.
“Sebaliknya, diari adalah gambaran diri yang sebenar dan tulen, bebas daripada tekanan serta penilaian sosial, psikologi dan interpersonal… Ia mencerminkan keadaan diri seseorang yang sebenar-benarnya,” katanya.
Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Rizwandean M Borhan, yang mewakili ibu Zara Qairina, Dr Chua bersetuju bahawa ini adalah kali pertama beliau mendengar 35 rakaman perbualan antara antara mangsa dan ibunya dari 6 Mac hingga 10 Julai tahun lepas.
Ditanya sama ada klip audio itu adalah data utama yang berharga untuk menilai hubungan mereka, beliau berkata interaksi lisan kurang signifikan berbanding diari mangsa.
Beliau berkata, rakaman itu adalah komunikasi lisan yang boleh dipengaruhi oleh “diri palsu” dan pelbagai mekanisme pertahanan psikologi namun mengakui bahawa terdapat kemungkinan wujud momen kasih sayang yang tulen dan konflik antara anak dengan ibu bapa lazimnya berepisod.
Rizwandean juga menyoal sama ada Dr Chua dan pasukannya enggan meneliti video, gambar dan rakaman audio yang ditawarkan oleh ibu mangsa serta peguamnya ketika sesi temu bual berlangsung.
Dr Chua berkata, beliau dan pasukannya tidak menolak bahan-bahan berkenaan namun memutuskan bahawa maklumat sedia ada sudah mencukupi terutama dengan kewujudan diari mangsa yang dianggap lebih mewakili keadaan sebenar dan bebas daripada pengaruh “diri palsu”.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Pada 8 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan agar kubur pelajar itu digali semula dan mayatnya dibedah siasat sekali lagi. Pada 13 Ogos tahun sama, AGC mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Prosiding inkues bersambung hari ini.
FT Image: Arkib penulis
