Setiap pasangan suami isteri pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. Namun, bagi seorang wanita bernama Maira Aziz, impian itu bertukar menjadi ujian yang amat besar apabila penantian selama 13 tahun untuk memiliki zuriat berakhir dengan kisah mengalami kanser rahim.
Ternyata ini merupakan dugaan yang besar bagi seorang individu bergelar wanita…
Baca juga: Wanita Ini Kongsi Perjalanan Semasa TTC & Apa Kena Buat, InsyaAllah Berjaya Dapat Zuriat!
Perjalanan Panjang: 3 Kali Gugur Tetapi Tidak Pernah Berputus Asa, Akhirnya Disahkan Kanser Rahim

Menurut perkongsian Maira di TikTok, dia dan suami mendirikan rumah tangga pada tahun 2012. Sejak hari pertama bergelar suami isteri, mereka tidak pernah berhenti berusaha dan berharap agar dikurniakan zuriat. Namun, perjalanan itu tidak mudah.
Sepanjang tempoh 13 tahun, Maira mengalami tiga kali keguguran. Walaupun berkali-kali kecewa, pasangan ini tetap kuat dan terus mencuba hinggalah satu berita pada tahun 2024 mengubah segalanya.
Pada tahun 2024, Maira menerima perkhabaran paling berat dalam hidupnya apabila dia disahkan menghidap kanser rahim yang digeruni wanita. Oleh kerana keadaan kesihatan yang semakin serius, rahimnya terpaksa dibuang sepenuhnya pada Ogos 2025.
Dalam videonya, Maira menulis sesuatu yang membuat ramai sebak:
“Anak? Tak mungkin akan ada selepas aku disahkan ada kanser rahim pada Julai 2024. Selamat dibuang kesemuanya pada Ogos 2025. Ini takdir aku dan aku reda. Sedih? Mestilah sedih… tetapi reda itu kuncinya..” kongsinya.
Walaupun melalui perjalanan yang sukar, Maira tetap cekal. Baginya, Allah pasti merancang sesuatu yang lebih indah.
“Assalamualaikum, Ibu…” — Netizen Menjadi ‘Anak’ Untuk Maira

Perkongsian tersebut meraih lebih 1.4 juta tontonan dalam hanya enam hari. Di ruangan komen, ribuan netizen tampil memberikan sokongan malah ramai yang memanggil Maira sebagai “ibu”.
Ada yang menulis cerita seolah-olah mereka ialah anak Maira, semata-mata untuk menghiburkan hati wanita tabah itu. Antara komen yang menyentuh hati:
“Ibu… anak ibu dah habis belajar dan dapat segulung ijazah. Ibu bangga tak? Boleh peluk tak? Anak tengah survive sorang-sorang… ibu ada kan dengan anak?”– netizen.
Seorang lagi netizen dari Indonesia turut menitipkan pesanan manis:
“Hi mom, I’m your Indonesian daughter. I came here to continue my study. Parents divorced since I was 2. Mereka sudah punya keluarga masing-masing. Doakan Nia ya Ma, tahun depan dapat MBA,”– netizen.
Dalam banyak-banyak komen, satu perkara jelas adalah ramai yang mahu menjadi anak kepada Maira, bukan kerana simpati semata-mata, tetapi kerana merasakan kasih sayang tulus yang terpancar daripada cara wanita itu berkongsi kisah hidupnya.
Semoga perkahwinan Maira sentiasa dirahmati dan dipermudahkan segala urusan.
Baca juga: Naikkan Kedudukan Punggung Masa Bersama Baru Cepat Lekat Anak, Ini Apa Doktor Kata
Sumber: Tiktok @maira.azz
