Bayangkan baru sahaja azan Subuh berkumandang, tak sampai sejam waktu berpuasa kemudian sudah masuk waktu berbuka. Kedengaran mustahil, tetapi itulah realiti Ramadan di Murmansk, sebuah bandar di Rusia yang terletak berhampiran Kutub Utara.
Baca juga: Hampir Sehari Tak Makan Minum? Ini 5 Lokasi Bandar Dengan Tempoh Puasa Terpanjang Di Dunia!
WAKTU BERPUASA HANYA 1 JAM DI MURMANSK, RUSIA

Seorang warga Indonesia yang menetap di sana, Lalu Satria Malaca, berkongsi pengalaman uniknya berpuasa hanya kira-kira 60 minit ketika musim sejuk. Menurut Satria yang bekerja sebagai pemandu pelancong, situasi luar biasa itu berlaku disebabkan fenomena dikenali sebagai polar night.
Ketika fenomena ini berlaku, matahari langsung tidak terbit dalam tempoh tertentu. Walaupun sudah jam 11 atau 12 tengah hari, suasana masih gelap seperti awal pagi. Disebabkan kedudukan matahari yang sangat terhad, jarak antara waktu Subuh dan Maghrib menjadi amat singkat – sekitar sejam sahaja.
“Ketika polar night, matahari memang tak kelihatan langsung. Jadi waktu Subuh dan Maghrib sangat rapat,” jelasnya dalam satu perkongsian video yang kini tular.
Namun, situasi berubah sepenuhnya apabila tiba musim panas. Pada bulan Julai misalnya, matahari hampir tidak terbenam, menyebabkan tempoh berpuasa jika berlaku dalam bulan itu boleh mencecah sehingga 23 jam sehari. Perbezaannya ibarat langit dan bumi.
Fenomena siang dan malam yang ekstrem ini bukan hanya berlaku di Murmansk, malah turut dialami beberapa kawasan lain dalam Lingkaran Artik seperti Tromsø di Norway, Lapland di Finland, Iceland serta Alaska di Amerika Syarikat.
Menurut Satria, waktu ibadah di kawasan ini sentiasa berubah mengikut pergerakan matahari. Malah untuk beberapa tahun akan datang, Ramadan dijangka jatuh sekitar bulan Disember, menjadikan tempoh puasa di sana kekal pendek.
Perkongsian pengalaman unik ini nyata mencuri perhatian ramai apabila video tersebut meraih lebih 10 juta tontonan dan ratusan ribu tanda suka di TikTok.
Siapa sangka, di satu sudut dunia, ada umat Islam yang hanya berpuasa selama sejam… dan pada musim lain pula hampir 23 jam sehari. Benarlah, pengalaman Ramadan di setiap tempat begitu berbeza, namun hikmahnya tetap sama.
@perwira_rimba_103 dinegara ini puasa hanya 1 jam saja dari saur-buka#russia #kutubutara #faktamenarik #rusia2018 ♬ suara asli – Perwira rimba 103
Baca juga: 10 Tempat Hanya Indah Khabar Dari Rupa Di Malaysia, Kalau Pergi Rasa Serabut!
Sumber: TikTok @perwira_rimba_103, Sinar Harian
