Isu kesihatan dalam kalangan pelajar universiti kembali menjadi perhatian apabila timbul persoalan sama ada ujian saringan HIV perlu diwajibkan sebagai syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, yang memaklumkan bahawa setakat ini tiada dasar mewajibkan ujian berkenaan ke atas semua pelajar baharu.
Baca juga: Permohonan Guru DG9 Dibuka 2–20 Mac 2026, Peluang Emas Graduan Bukan Bidang Pendidikan Untuk Mohon
UJIAN SARINGAN HIV TAK WAJIB UNTUK MASUK IPT

Foto: NSTP
Menurut beliau dalam laporan Buletin TV3, walaupun saringan HIV tidak diwajibkan, pemeriksaan kesihatan secara umum tetap menjadi sebahagian daripada proses kemasukan ke kebanyakan universiti.
“Ada beberapa universiti yang telah pun melakukan saringan, manakala di universiti lain setakat ini belum ada kewajipan.
Tetapi dari segi kemasukan ke universiti, biasanya saringan secara umum dilakukan,” jelasnya ketika sesi pertanyaan di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung cadangan mewajibkan ujian saringan HIV dalam kalangan bakal pelajar IPT sebagai langkah mengekang peningkatan kes.
KPT Fokus Advokasi, Kesihatan & Kaunseling

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan bahawa kementerian tidak memandang ringan isu berkenaan. Sebaliknya, pelbagai pendekatan sedang dan akan terus diperkukuhkan termasuk:
- Program advokasi kesedaran kesihatan
- Pendidikan berkaitan pencegahan HIV
- Perkhidmatan kaunseling untuk pelajar
Langkah ini dilihat lebih menyeluruh dan berfokus kepada pendidikan serta sokongan emosi, berbanding pendekatan mewajibkan saringan.
Isu kesihatan dalam kalangan pelajar IPT sememangnya menjadi perhatian, khususnya dalam memastikan kesejahteraan fizikal dan mental sepanjang tempoh pengajian. Namun buat masa ini, tiada perancangan untuk menjadikan ujian saringan HIV sebagai syarat wajib kemasukan ke universiti.
Sumber: Buletin TV3
