Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyentuh hati ramai apabila menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-46 bersama isteri tercinta, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN CINTA HATI” – UCAPAN PMX BUAT ISTERI BUAT RAMAI CAIR…

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Anwar meluahkan rasa syukur atas perjalanan hidup yang dilalui bersama sejak lebih empat dekad lalu. Beliau turut merakamkan penghargaan atas kasih sayang, pengorbanan serta doa yang tidak pernah putus daripada isterinya sepanjang mereka melayari bahtera rumah tangga.
Menurut beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu sentiasa setia berada di sisi dalam setiap fasa kehidupan — sama ada ketika berada di puncak mahupun saat diuji pelbagai cabaran.
“Semoga Allah SWT terus memelihara dan memberkati perjalanan hidup kita,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Perkongsian tersebut segera dihujani ucapan tahniah dan doa daripada rakyat Malaysia yang tersentuh melihat keteguhan hubungan pasangan ini. Ramai menyifatkan mereka sebagai contoh pasangan yang tetap utuh walau berdepan jatuh bangun, tohmahan dan ujian sepanjang bergelar suami isteri.
NETIZEN PUN BERI UCAPAN

Antara komen yang mencuri perhatian:
“Kuat betul kasih sayang antara dua insan ini. Jatuh bangun, dihina, dicaci, difitnah, namun kesetiaan tetap utuh. Happy Anniversary DSAI & Datin Wan, pasangan contoh untuk semua..”
“Semoga terus kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Tahniah 46 tahun perkahwinan. Datin Wan tetap anggun seperti dulu. Semoga Allah merahmati dan memberkati Dato’ Seri berdua dunia dan akhirat..”
Untuk rekod, Anwar dan Dr Wan Azizah mendirikan rumah tangga pada tahun 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata. Hubungan yang dibina sejak zaman muda itu terus menjadi inspirasi ramai, terutama dalam menggambarkan erti kesetiaan dan ketabahan dalam perkahwinan.
Baca juga: Kad Kahwin Tahun 1963 Kembali Viral, Siap Letak Pekerjaan Pengantin Supaya Orang Ramai Tahu!
Sumber: Instagram @anwaribrahim_my
