Nama Zohran Mamdani kini ‘viral’ dan menjadi sebutan di seluruh dunia selepas mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York City, Amerika Syarikat.
Hal ini kerana, kemenangan beliau bukan sekadar simbol perubahan politik, tetapi juga lambang kejayaan imigran, persepsi agama dan suara generasi muda dalam politik global.
Baca juga: PMX Anwar Ibrahim Kini Tersenarai Dalam Top 10 Tokoh Islam Paling Berpengaruh Di Dunia, Hebat!
Perjalanan Luar Biasa Seorang Anak Imigran, Zohran Mamdani Datuk Bandar Muslim Pertama Dalam Sejarah

Foto: AlJazeera
Dilahirkan pada 18 Oktober 1991 di Kampala, Uganda, Zohran berpindah ke New York bersama keluarganya ketika berusia tujuh tahun. Membesar di Bronx, beliau melalui kehidupan sederhana seperti kebanyakan keluarga imigran yang berusaha mencari masa depan lebih baik.
Sejak kecil, Mamdani sudah terdedah kepada dunia akademik dan seni, ibunya Mira Nair ialah pengarah filem terkenal (The Namesake, Monsoon Wedding), manakala bapanya, Profesor Mahmood Mamdani, merupakan ahli akademik dihormati di Columbia University.
Mamdani menamatkan pengajian di Bronx High School of Science sebelum memperoleh ijazah dalam Africana Studies di Bowdoin College. Ketika di universiti, beliau menubuhkan cawangan kampus bagi gerakan Students for Justice in Palestine, mencerminkan jiwa aktivis yang sudah berakar sejak muda.
Sebelum bergelar ahli politik, Mamdani bekerja sebagai kaunselor perumahan di Queens, membantu komuniti berpendapatan rendah menentang pengusiran rumah. Pengalaman itu membentuk empati dan tekadnya untuk memperjuangkan isu rakyat marhaen.
BERUCAP DALAM PELBAGAI BAHASA TERMASUK URDU MACAM FILEM BOLLYWOOD, LAWAT MASJID

Foto: NBC News
Berbeza daripada calon lain, Mamdani menggunakan pendekatan unik dalam kempennya. Beliau berucap dalam pelbagai bahasa termasuk Urdu dan Sepanyol, bahkan menyelitkan klip filem Bollywood dalam video kempen sebagai strategi yang berjaya menarik perhatian pelbagai komuniti di kota yang paling pelbagai di dunia itu.
Beliau turut melawat masjid-masjid di seluruh New York, mengangkat identiti Islamnya dengan bangga sambil menekankan mesej perpaduan dan keadilan sosial.
Di sebalik jadual politik yang padat, kisah cintanya juga menarik perhatian ramai. Zohran berkahwin dengan Rama Sawaf Duwaji, artis dan animator kelahiran Syria berusia 27 tahun. Pasangan ini berkenalan melalui aplikasi temu janji Hinge sebelum berkahwin dan kini sering menjadi inspirasi kepada pasangan muda berkarier.
Rama, yang kini digelar ‘First Lady of New York’, ialah seorang animator dan ilustrator terkenal yang pernah bekerjasama dengan Spotify, The New Yorker, The Washington Post, BBC, Apple, dan Tate Modern.
- Antara agenda utamanya selepas bergelar Datuk Bandar ini termasuk:
- Memperkenalkan sistem bas percuma di seluruh New York City.
- Menyokong perumahan mampu milik untuk kelas pekerja.
- Memperjuangkan isu keadilan iklim dan sosial secara menyeluruh.

Foto bersama isteri, First Lady of New York.
Kejayaan Zohran Mamdani bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi lambang perubahan landskap politik Amerika di mana kepelbagaian budaya, agama, dan suara rakyat akhirnya diberi tempat.
Dengan gaya kepimpinan progresif dan mesra rakyat, ramai melihat beliau sebagai ‘The New Face of New York’ yang bakal mencorak masa depan lebih inklusif untuk semua.
View this post on Instagram
Baca juga: Baru Usia 8 Tahun, Anak Dr. Sheikh Muszaphar Dah ‘Obses’ Algebra…Siap Menang Pertandingan Dunia!
Sumber: AWANI, Instagram @zohrankmamdani
