Tragedi yang berlaku baru-baru ini di Pantai Cenang, Langkawi, apabila seorang kanak-kanak warga Rusia maut akibat sengatan ubur ubur kotak, membuka mata ramai tentang bahaya hidupan laut yang jarang disedari.
Insiden ini mengingatkan kita bahawa di sebalik keindahan pantai tropika, wujud makhluk kecil yang mampu mengancam nyawa dalam beberapa minit sahaja!
Baca juga: 10 Hotel Mesra Bajet Bawah RM100 Seluruh Malaysia, Bercuti Satu Keluarga Tanpa Poket Kering!
Hidupan Laut Paling Berbisa, Apa Itu Ubur Ubur Kotak?

Foto: freepik
Ubur-ubur kotak (Cubozoa) dikenali sebagai hidupan laut paling berbisa di dunia. Badannya hampir lutsinar, berbentuk kiub, dan mempunyai tentakel panjang yang dipenuhi sel penyengat.
Beberapa ciri utamanya:
- Racun menyerang jantung, saraf dan kulit
- Mampu berenang secara aktif, bukan hanya hanyut
- Mempunyai 24 mata, sesuatu yang jarang bagi spesies ubur-ubur
- Tentakel sehingga 3 meter, setiap satu dengan ribuan sel sengat (nematosista)
- Sengatan boleh membawa maut dalam 2–5 minit
Sengatan ubur-ubur kotak berlaku melalui nematosista, iaitu sel penyengat mikro yang terdapat pada tentakel. Ini cara ia berlaku:
1. Pengesanan Sentuhan
Bila tentakel tersentuh kulit manusia walaupun sedikit, ribuan nematosista teraktif secara spontan.
2. Pancutan Mikro Seperti Jarum
Setiap nematosista melepaskan ‘jarum’ mikroskopik dengan kelajuan yang lebih pantas daripada pencetus peluru.
3. Racun dilepaskan dalam milisaat
Racun (toksin) akan memasuki aliran darah dan tisu saraf.
4. Kesan serta-merta pada tubuh
Antara kesan paling kritikal:
- Kesakitan terbakar yang melampau
- Kesukaran bernafas
- Jantung boleh berhenti secara tiba-tiba
- Kulit melepuh & parut kekal
Sebab itu mangsa sering roboh dalam beberapa minit kerana toksinnya sangat agresif dan menyerang sistem penting tubuh dalam masa yang amat singkat.
Jabatan Perikanan Sahkan Kehadiran Ubur-Ubur, Ada Kes Selain Langkawi

Foto: The Star
Jabatan Perikanan sudah mengesahkan kehadiran ubur-ubur kotak di beberapa kawasan sekitar Langkawi. Statistik 3 tahun lalu merekodkan lebih 100 kes sengatan ubur-ubur, termasuk spesies lain.
Tragedi kanak-kanak Rusia ini bukan kes terpencil lagi dan ia tanda amaran bahawa spesies ini sudah berada lebih dekat dengan pantai berbanding sebelumnya.
Punca kemunculan:
- Perubahan arus semasa peralihan monsun
- Limpahan air tawar yang membawa nutrien
- Keadaan air laut yang lebih sesuai untuk pembiakan
Walaupun ramai fikir kes ini jarang berlaku, beberapa negara telah lama berdepan ancaman ubur-ubur kotak:
1. Australia — Kawasan Paling Banyak Rekod Kematian
Di Queensland dan Darwin, ubur-ubur kotak adalah ancaman tahunan. Seorang budak lelaki 10 tahun meninggal dunia selepas disengat di Queensland dan beberapa pantai di Utara Australia sering ditutup semasa musim pembiakannya (“stinger season”).
2. Thailand
Beberapa pelancong asing pernah maut di Koh Phangan, Krabi dan Koh Samui akibat sengatan ubur-ubur kotak. Kerajaan Thailand mewajibkan resort meletakkan botol cuka di tepi pantai sebagai langkah kecemasan.
3. Filipina
Kes sengatan kerap berlaku di Palawan dan Visayas. Seorang remaja dilaporkan meninggal dunia beberapa tahun lalu selepas disahkan terkena ubur-ubur kotak ketika snorkeling.
4. Jepun (Okinawa)
Tidak bahaya macam di Australia, tetapi kes sengatan meningkat semasa musim panas kerana cuaca sesuai untuk pembiakan.
Kanak-kanak dan perenang cetek adalah kumpulan paling berisiko.
5. Hawaii
Walaupun bukan spesies paling berbisa, beberapa kes sengatan jarum (Irukandji) telah menyebabkan hospitalisasi teruk.
Kes-kes ini membuktikan bahawa ubur-ubur kotak bukan sekadar ancaman tempatan malah merupaka masalah global bagi negara tropika dan subtropika. Jadi, untuk anda yang mahu bawa anak-anak bermain di tepi pantai, hati-hati ya!
Baca juga: Siap Ada Kolam Renang & Pelbagai Kemudahan, Ini 7 Homestay Di Kedah Anda Boleh Menginap
Sumber: National Geographic, How Stuff Works
