Percutian pasangan suami isteri dari Rusia di Langkawi bertukar tragedi apabila anak lelaki mereka yang berusia dua tahun meninggal dunia selepas terkena sengatan ubur-ubur pada Sabtu lalu.
Mangsa, Vladimir Lakubanets, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 9.46 pagi tadi selepas dirawat sejak 16 November.
Baca juga: Dalam Senyap Jin ‘Memerhati’ – Ini Jenis Wanita Yang Selalu Jadi Pilihan Mereka, Menakutkan!
KANAK-KANAK MAUT KENA SENGAT UBUR-UBUR DI LANGKAWI
Menurut bapanya, Nikita Lakubanets, 32, kejadian berlaku sekitar 7.30 pagi ketika mereka sekeluarga berjalan di kawasan pantai berhampiran Dataran Pantai Chenang.
“Ketika anak bermain air, dia tiba-tiba menjerit dan menangis kesakitan. Isteri saya segera mendapatkannya dan terlihat seekor ubur-ubur besar melekat pada kedua-dua kakinya. Isteri saya sendiri turut disengat ketika cuba melepaskan haiwan itu dari kaki anak,” ujarnya.
Nikita yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat berkata, dia segera melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawa anaknya ke klinik berhampiran, sebelum dirujuk pula ke HSB apabila keadaan semakin teruk.
“Keesokan harinya, doktor memaklumkan bahawa anak kami mengalami keracunan akibat sengatan ubur-ubur tersebut dan itu menyebabkan keadaannya kritikal,” jelasnya.

Foto: BERNAMA (2025)
Walaupun kehilangan itu amat memilukan, pasangan itu menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka.
“Kami tidak menuding jari kepada sesiapa. Cuma kami berharap ada langkah pencegahan seperti pemasangan papan tanda amaran serta maklumat tindakan kecemasan jika berlaku sengatan,” katanya.
Isterinya, Olga Lakubanets, 32, turut berkongsi bahawa anak mereka begitu teruja setibanya di Langkawi pada hari Jumaat sebelum kejadian.
“Dia sangat tidak sabar untuk menikmati percutian kami di sini. Kami bertiga benar-benar gembira ketika tiba,” tambahnya.
Pasangan itu kini berhasrat membawa pulang abu mayat anak mereka pada 26 November, tarikh yang sepatutnya menjadi hari mereka kembali ke tanah air.
Baca juga: Dalam Senyap Jin ‘Memerhati’ – Ini Jenis Wanita Yang Selalu Jadi Pilihan Mereka, Menakutkan!
Sumber: Kosmo
