Kasih seorang anak terhadap ibu sememangnya tiada tandingan. Masih wujud kisah menyentuh hati yang mengingatkan kita tentang erti sebenar kasih sayang dan pengorbanan. Itulah yang dapat digambarkan melalui kisah seorang kanak-kanak lelaki, Raziq atau lebih dikenali sebagai Eby, yang setia menjaga ibunya sepanjang lima tahun melawan penyakit kanser.
Baca juga: Baru Umur 12 Tahun Dah Cekap Jadi Penjaga Ibu & Nenek Sakit Kanser, Rayyan ‘Wira Kecil’ Keluarga
KISAH RAZIQ JAGA IBU HIDAP PENYAKIT KANSER BUAT RAMAI SEBAK

Foto: Tiktok @auntyzue_mazus
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang memaparkan kisah seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Raziq atau Eby, yang setia menjaga ibunya sepanjang lima tahun bertarung dengan penyakit kanser.
Apa yang lebih menyentuh perasaan, dalam usia yang masih muda, Raziq memikul tanggungjawab besar yang mungkin sukar dilakukan oleh orang dewasa iaitu menjadi peneman setia, penjaga, dan sumber kekuatan buat ibunya sehingga ke akhir hayat.
Teman Setia Siang dan Malam Tanpa Jemu
Sepanjang tempoh ibunya sakit, Raziq tidak pernah berenggang jauh. Siang dan malam dihabiskan dengan menemani ibunya, memastikan ibunya itu tidak keseorangan menghadapi ujian berat tersebut.
Ketika kanak-kanak lain seusia dengannya sibuk dengan permainan dan dunia masing-masing, Raziq memilih untuk berada di sisi insan paling penting dalam hidupnya.
Tidur malamnya juga tidak pernah lena sepenuhnya. Setiap pergerakan ibunya seolah-olah menjadi keutamaan, seakan-akan dia sentiasa bersedia sekiranya diperlukan.
Tanpa keluh kesah, tidak menunjukkan rasa penat dan hanya keikhlasan yang jelas terpancar melalui setiap tindakannya.

Foto: Tiktok @auntyzue_mazus
Salah satu momen paling menyentuh dalam kisah ini adalah apabila Raziq dengan penuh sabar membimbing ibunya dalam menunaikan solat.
Apabila penyakit semakin memberi kesan kepada ingatan ibunya, Raziq tidak pernah jemu membetulkan bacaan solat ibunya itu lima waktu sehari, setiap hari.
Dalam diam, dia bukan sahaja menjaga keperluan fizikal ibunya, tetapi juga memastikan kewajipan agama tetap terjaga. Bibirnya juga sentiasa dibasahi dengan zikir, mencerminkan didikan dan jiwa yang penuh dengan keimanan.
Pengorbanan Raziq tidak terhenti di situ. Demi memastikan ibunya sentiasa ditemani, dia sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menjaga wanita yang disayangi.
Bagi Raziq, ibu bukan sekadar penjaga, tetapi satu-satunya syurga yang ada di dunia ini. Katanya, ibu tidak boleh dicari ganti. Kata-kata yang cukup ringkas, tetapi membawa makna yang sangat mendalam.
Setia Jaga Ibu Hidap Penyakit Kanser Hingga Ke Hujung Nyawa

Foto: Tiktok @auntyzue_mazus
Kasih dan kesetiaan Raziq berterusan sehingga ke saat akhir hayat ibunya, Cikgu Mazriza Ridzuan, yang akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas sekian 5 tahun menghidap penyakit kanser.
Detik kehilangan itu jelas meninggalkan kesan yang amat mendalam.
Pandangan kosong dan riak wajah yang sugul menggambarkan kesedihan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Foto: Tiktok @auntyzue_mazus
Malam pertama tanpa ibu, Raziq hanya ditemani sehelai tuala milik arwah yang menjadi pengganti sementara kepada dakapan yang telah tiada.
Situasi itu cukup untuk membuatkan ramai yang menonton turut mengalirkan air mata.
Kasih Anak Yang Membawa Ke Syurga
Kisah ini bukan sekadar menyentuh emosi, tetapi juga penuh dengan pengajaran. Ia mengingatkan kita bahawa kasih sayang tidak mengenal usia, dan keikhlasan dalam berbakti kepada ibu bapa adalah sesuatu yang amat bernilai.
Dalam diam, Raziq telah membuktikan bahawa cinta seorang anak mampu melangkaui keselesaan diri, bahkan sanggup berkorban demi insan tersayang.
Semoga Raziq terus kuat menghadapi ujian kehilangan ini, dan semoga segala pengorbanan serta bakti yang dicurahkan menjadi asbab untuk dipertemukan kembali dengan ibunya di syurga kelak.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Cikgu Mazriza Ridzuan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
@auntyzue_mazus Alfatihah untuk kakakku CIKGU MAZRIZA RIDZUAN Cinta sampai syurga ❤️❤️❤️ Bidadari syurga melahirkan ahli syurga #cancerfighter #palliativecare #Siblings #family #syurga ♬ bunyi asal – wany_hasrita.fc – Wany Hasrita Fans
Baca juga: Pesakit Kanser Kongsi Cara Rawat Penyakit Bawa Maut Ini Cara Semula Jadi, InsyaAllah Mujarab…
Sumber: Tiktok @auntyzue_mazus
FT Images: Tiktok @auntyzue_mazus
