Tragedi di Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil pada Ahad iaitu kebakaran PPR telah mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dalam kejadian menyayat hati itu.
Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 3.40 petang di tingkat 10 blok perumahan berkenaan, mangsa ditemukan rentung di dalam sebuah bilik tidur selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
KEBAKARAN PPR KAMPUNG MUHIBBAH RAGUT NYAWA BUDAK 4 TAHUN

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daud
Ditinggalkan bersama lima beradik lain
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daud, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa bersama lima lagi adik-beradiknya yang berusia antara sembilan bulan hingga 10 tahun.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu mereka dipercayai keluar membeli makanan dan kesemua enam beradik berada di dalam rumah.
Jiran yang menyedari kebakaran tersebut bertindak pantas cuba menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila kanak-kanak terbabit dipercayai terperangkap di dalam bilik tidur utama yang sudah terbakar.
Kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Gambar: PGO JBPM KL
Bomba temukan mangsa dalam bilik tidur
Sementara itu, kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan bahawa pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil bersama bantuan BBP Sri Petaling dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Komander Operasi Kanan, Mohd Azizi Abdullah berkata kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan anggaran keluasan 20×40 kaki persegi dan tahap kemusnahan kira-kira 80 peratus.
Mangsa ditemukan rentung di dalam sebuah bilik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman melibatkan 13 anggota bomba dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS). Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.17 petang.
Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
ACP Mohd Rosdi Daud turut menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka serta tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian bagi mengelakkan sebarang tragedi tidak diingini.
FT Image: BERNAMA
