Cuti penggal yang baru sahaja berakhir bertukar duka buat sebuah keluarga apabila seorang wanita berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia dalam kemalangan motosikal di Kampung Tembak B, Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil, pada Ahad.
Tragedi itu berlaku ketika mangsa sedang menghantar anak lelakinya berusia lima tahun ke sekolah.
DUKA CUTI PENGGAL IBU MAUT SEMASA HANTAR ANAK KE SEKOLAH

Gambar ihsan pembaca
Menurut maklumat awal, insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 9 pagi selepas pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kemalangan maut yang membabitkan dua motosikal. Pasukan keselamatan segera bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, berkata siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Ketil menuju Kampung Tembak B, manakala sebuah lagi motosikal ditunggang mangsa bersama anaknya.
“Hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan sebuah motosikal ditunggang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah tempat kerja di Kuala Ketil menghala ke Kampung Tembak B, dengan motosikal ditunggang wanita tempatan berusia 30 tahun yang membawa anak lelakinya berumur lima tahun.
“Dua beranak itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah rumah mereka di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, menghala ke sebuah stesen minyak di Kampung Tembak B.
“Bagaimanapun, kejadian itu masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi.
Baca juga: Penceramah Bebas Dihukum 15 Tahun Penjara & Sebatan, Akibat Perbuatan Rogol Mangsa 13 Tahun!
Beliau memaklumkan, wanita berkenaan bernama Nur Najihah Mohd Zukri, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya serta penunggang motosikal kedua dikejarkan ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Baling untuk proses bedah siasat.
Sumber: Berita Harian
