Menerusi perkongsian Dzulkamel Mustaffa di group Facebook Jemaah Haji Malaysia 1447H/2026M, dia berkongsikan satu petua untuk merawat masalah batuk berkahak. Cuaca panas dan perubahan iklim ketika berada di Mekah merupakan antara punca kepada masalah batuk berkahak itu.
Baca juga: Tabiat Bakar Sarang Telur Undang Padah, Rupanya Jadi Punca Jangkitan Paru-Paru!
BEKAS JEMAAH HAJI KONGSI PETUA RAWAT BATUK BERKAHAK

Mengalami batuk berkahak yang berpanjangan memang sesuatu yang memenatkan, apatah lagi selepas pulang daripada perjalanan ibadah yang jauh dan mencabar.
“Saya nak kongsi satu petua ubat batuk yang saya amalkan sendiri. Sekembali saya dari Mekah baru-baru ini, saya mengalami batuk berkahak yang agak kuat. Semasa di sana, saya diserang batuk sebanyak dua kali, dan setiap kali berlarutan lebih seminggu.
“Selepas pulang ke tanah air, seorang sahabat mencadangkan supaya saya makan nanas masak. Mula-mula saya fikir dia bergurau maklumlah, kita biasa dengar nanas ini ‘gatal’ dan boleh menyebabkan tekak perit. Tapi sahabat saya tekankan, yang dimaksudkan ialah nanas masak dan manis, bukan yang muda atau masam,” jelasnya.

Namun, rakan Dzulkamel tetap membelikan nanas untuk dirinya agar dia mencuba sendiri keberkesanan petua tersebut. Terharu dengan usaha rakannya, Dzulkamel akhirnya mencuba dan ternyata, selepas beberapa hari mengamalkan makan nanas masak, batuk berkahaknya mula reda.
“Dia sendiri belikan sebiji nanas untuk saya, jadi saya pun cuba. Alhamdulillah, selepas makan, saya terus rasa lega. Saya mula amalkan selama beberapa hari. Biasanya, saya belah sebiji nanas kepada empat bahagian dan makan satu bahagian setiap hari atau dua hari sekali.
“Alhamdulillah, sekarang batuk saya dah sembuh. InshaAllah, kalau anda alami batuk berkahak, bolehlah cuba amalkan nanas masak sebagai salah satu ikhtiar semula jadi,” ujarnya.
Baca juga: Selalu Rasa Jantung Berdebar Setiap Kali Minum Kopi, Ternyata Bukan Anxiety Tapi Ada Masalah Ini!
