Banjir di Hatyai yang melanda beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand pada Sabtu menyebabkan ramai pelancong Malaysia terkandas.
Faktor cuaca menjadi keutamaan dalam merancang percutian terutama pada musim tengkujuh kerana Malaysia dan Thailand kini berada dalam fasa Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat tidak menentu.
Baca juga: Nota Ringkas Buat Pilot Ubah Segalanya, Wanita Ini Syukur Dapat Bertemu Arwah Ayah Sebelum Dikebumi
BANJIR DI HATYAI, RAKYAT MALAYSIA DINASIHATKAN SEMAK RAMALAN CUACA

Kredit imej: Harian Metro
Menurut Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, beliau memberitahu bahawa rakyat Malaysia kini mula kembali menerusi sempadan itu.
“Jumlah pelancong yang menuju ke Thailand merosot daripada 9,950 orang pada Jumaat kepada 5,812 orang pada Sabtu. Penurunan mendadak ini jelas menunjukkan ramai yang berpatah balik atau menangguhkan kunjungan selepas dimaklumkan mengenai banjir serius di Hatyai,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menunda dahulu perjalanan ke Hatyai dalam tempoh dua minggu akan datang sehingga keadaan cuaca dan banjir di kawasan itu kembali stabil.
Menurut Mohd Nasaruddin, setakat ini tiada laporan diterima berhubung kerosakan pasport atau pas sempadan membabitkan rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir tersebut.
Dalam situasi genting yang dialami mangsa, beliau mengingatkan orang ramai agar lebih berempati dan tidak melemparkan sebarang kecaman yang boleh menambah tekanan kepada mereka.

Kredit imej: Harian Metro
Bencana banjir di Hatyai sewajarnya menjadi pengajaran dalam pelbagai aspek, bukan hanya dari sudut keprihatinan terhadap mangsa, tetapi juga kepentingan merancang perjalanan dengan meneliti ramalan cuaca lebih awal.
Pelancong disarankan menyemak ramalan cuaca sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum bertolak serta mengikuti perkembangan amaran cuaca sepanjang tempoh percutian.
Selain itu, pembelian insurans perjalanan yang melindungi daripada bencana alam dan menyimpan nombor kecemasan konsulat Malaysia di negara yang dikunjungi juga antara langkah penting keselamatan.
Ketika musim cuti hujung tahun semakin rancak, percutian seharusnya menjadi pengalaman yang indah. Namun dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, aspek keselamatan wajar diutamakan berbanding aktiviti membeli-belah, hiburan atau rekreasi.
Baca juga: Dari Baju Mahal Sampai Barang Rosak… Pengalaman Kemas Rumah Orang Meninggal Buat Ramai Muhasabah
Sumber: Sinar Harian
