Situasi banjir di Kelantan terus membimbangkan apabila jumlah mangsa semakin meningkat setiap jam. Hujan yang tidak berhenti sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air sehingga Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran tahap bahaya.
Di sebalik suasana cemas itu, kisah seorang ibu hamil tujuh bulan yang terpaksa meredah banjir demi menyelamatkan diri bersama anak kecilnya benar-benar menyentuh hati.
Baca juga: 5 Soalan & Jawapan Tentang Ibadah Semasa Bencana Banjir Dari Ustaz Wadi Annuar, Tak Ragu-Ragu!
Banjir Di Kelantan: Ibu Hamil Redah Air Setinggi Hampir Setengah Meter Demi Selamatkan Anak

Foto: Berita Harian
Menurut laporan Berita Harian, Nik Nur Nadia Nik Ibrahim, 24 tahun, berdepan detik yang tidak pernah dilupakan apabila air mula naik dengan cepat di rumahnya di Kampung Panji, Kota Bharu.
Air banjir yang mencecah hampir setengah meter memaksa dirinya keluar segera sambil menggenggam tangan anak sulungnya, Mohd Zarreef Aidan, 3 tahun, yang digendong oleh kakaknya, Nik Syazwana, 29 tahun.
“Air mula masuk melalui dapur. Saya takut kalau kami tak keluar awal, keadaan jadi lebih teruk,” katanya.
Tanpa pilihan lain, mereka berjalan lebih 500 meter meredah air yang semakin laju dalam hujan lebat.
Suami Berkejar Pulang, Hanya Fikir Keselamatan Isteri & Anak

Foto hiasan: wikiimpact
Saat menyedari paras air makin meningkat, Nik Nur Nadia segera menghubungi suaminya, Mohd Zaid Ghani, 29 tahun, yang ketika itu masih bekerja. Suaminya bergegas pulang sebaik menerima panggilan cemas itu.
“Sampai saja di tempat selamat, suami naik motosikal dan bawa kami ke PPS,” jelasnya.
Mereka akhirnya tiba di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Islah sekitar jam 3 petang. Berkongsi pengalamannya, Nik Nur Nadia mengakui hatinya sangat berdebar ketika meredah banjir.
“Saya hamil tujuh bulan, tak pernah redah banjir. Takut juga kalau terjatuh atau terserempak ular… tapi masa tu saya cuma fikir keselamatan anak,” katanya.
Ini merupakan kali kedua keluarganya berdepan banjir besar selepas bah kuning pada 2014. Nik Nur Nadia kini antara 297 mangsa daripada 80 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Islah selepas hujan berterusan menenggelami kawasan kediaman mereka.
*Situasi banjir di Kelantan dijangka terus berubah dan orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan amaran cuaca serta segera berpindah jika keadaan menjadi berisiko.
Baca juga: “Jangan Suruh Ambil EL!”- Staf Ada Cuti ‘Khas’ Untuk Bencana Alam Termasuk Banjir, Ini Borangnya..
Sumber: Berita Harian
