Adakah kucing kesayangan anda menunjukkan perubahan perangai atau fizikal yang luar biasa kebelakangan ini? Si bulus menjadi lebih manja, makan lebih banyak, atau perutnya kelihatan membesar? Jika ya, besar kemungkinan inilah tanda kucing bunting yang anda sedang hadapi!
Bagi pemilik si comel kucing, mengenal pasti tanda-tanda awal kehamilan sangat penting untuk memastikan kucing mendapat penjagaan yang sesuai dan bersedia menyambut kehadiran anak-anak kucing tidak lama lagi. Oleh itu, ini antara ciri-ciri utama kucing yang sedang bunting agar anda dapat mengenal pasti dan memberikan sokongan yang terbaik buat haiwan kesayangan Rasulullah SAW.
TANDA KUCING BUNTING YANG TUAN KENA PERHATIKAN, INI BUKAN ‘MONTEL’ YA!

Foto: Freepik
Berikut adalah beberapa tanda atau ciri-ciri kucing yang sedang bunting (hamil) yang boleh anda perhatikan:
1. Perubahan pada puting susu
Puting menjadi lebih merah jambu dan membesar. Ini biasanya berlaku sekitar minggu ke-2 hingga ke-3 kehamilan dan mungkin juga nampak sedikit bengkak atau lebih menonjol.
2. Perubahan Perangai
Kucing mungkin menjadi lebih manja atau lebih suka bermanja dengan tuannya. Ada juga yang menjadi lebih pendiam atau menyendiri dan ada sesetengah kucing boleh menjadi lebih agresif dari biasa.
3. Peningkatan Selera Makan
Kucing bunting biasanya makan lebih banyak kerana memerlukan lebih banyak tenaga dan nutrien untuk anak-anak dalam kandungan.
4. Perut Makin Membesar
Sekitar minggu ke-5 ke atas, perut kucing akan mula kelihatan membesar secara beransur-ansur. Pembesaran berlaku secara simetri dari kedua-dua sisi badan.
5. Muntah atau Loya (Morning Sickness)
Sesetengah kucing akan mengalami muntah ringan, sama seperti manusia pada awal kehamilan. Namun, tidak semua kucing akan mengalami gejala ini.
6. Berat Badan Bertambah
Berat badan kucing akan naik secara berperingkat, biasanya ketara pada pertengahan kehamilan.
7. Tingkah Laku “Nesting”
Menjelang akhir kehamilan, kucing akan mula mencari tempat selamat dan tersembunyi untuk melahirkan anak. Mereka juga mungkin akan mula menggaru-garu selimut, kusyen, atau kotak sebagai persiapan bersalin.
8. Kurang Aktif
Kucing yang hamil cenderung menjadi kurang aktif dan lebih banyak berehat, terutama pada minggu-minggu terakhir kehamilan.

Foto hiasan.
*Jika anda mengesyaki kucing anda bunting, adalah baik untuk bawa ke klinik haiwan bagi mendapat pengesahan doktor veterinar melalui pemeriksaan fizikal atau imbasan ultrasound. Ini juga membantu memastikan kucing dan anak-anaknya sihat sepanjang kehamilan.
Baca juga: 8 Jenis Baka Kucing Termahal Dunia, Harga Hampir Sama Nilai Beli Sebuah Rumah
Sumber: Hello Sehat
