Mengalami kembung perut merupakan perkara normal dalam kalangan bayi yang kian membesar. Namun, tanda bayi kembung perut ini perlu diambil tahu oleh si ibu kerana si kecil masih belum boleh bercakap. Jadi, mereka akan menunjukkan ketidakselesaan melalui bahasa tubuh.
Berikut merupakan 6 tanda bahawa perut si manja penuh dengan angin dan memerlukan bantuan si ibu. Jangan dibiarkan lama-lama ya!
Baca juga: ‘Drama’ Suami Ambil Anak Balik Sekolah Buat Ramai Terhibur, Kongsi Tips Jadi Ayah ‘On Time’!
TANDA BAYI KEMBUNG PERUT DAN PENUH ANGIN

Foto: FirstCry Parenting
1.Mual dan muntah
Perut yang penuh dengan angin boleh menyebabkan rasa loya dan keinginan untuk muntah. Oleh itu, jika bayi anda pada mulanya kelihatan sihat dan kemudian tiba-tiba berasa loya dan muntah, ia boleh menjadi petanda bahawa perutnya sudah penuh dengan angin.
Selain daripada itu, pengumpulan gas dalam saluran penghadaman boleh menyebabkan perut kelihatan kembung dan keras bila sentuh. Jika anda melihat tanda ini, boleh cuba usap perut bayi dengan pergerakan berputar atau menggerakkan kaki bayi seperti pergerakan mengayuh basikal.
2.Jadi cerewet
Bayi akan menunjukkan ketidakselesaannya dengan meragam dan menangis. Jika si manja anda tiba-tiba cerewet dan menangis berterusan, ia boleh menjadi tanda angin dalam perut tidak selesa, menyebabkan mereka menangis tanpa henti! Apa anda boleh buat adalah menenangkan si kecil dengan menggosok belakangnya secara lembut atau memegangnya.
3.Cirit-birit
Cirit-birit adalah salah satu lagi tanda bahawa bayi anda mengalami perut kembung. Virus boleh menyerang dan memasuki saluran pencernaan dan menyebabkan cirit-birit. Mama perlu pastikan si manja anda mendapat banyak cecair apabila dia mengalami cirit-birit supaya tidak mengalami dehidrasi.
4.Sukar tidur
Sudah berjam-jam cuba tidurkan si kecil tapi masih menangis? Hal ini kerana ketidakselesaan pada perut akibat angin membuatkan bayi menjadi rimas dan akhirnya sukar tidur. Bayi akan sukar tidur nyenyak dan selalunya akan terjaga dari tidur kerana berasa tidak selesa dan sakit pada bahagian abdomen. Jika bayi sukar tidur, anda perlu memberi keselesaan kepada mereka dengan memegangnya sambil menggoyang sedikit sebelum meletakkan si kecil atas katil atau menggosok belakangnya.
5.Tak mahu menyusu
Rasa tidak selesa pada perut apabila diserang angin boleh menyebabkan bayi hilang selera makan sehingga tidak mahu menyusu atau makan seperti biasa. Mama boleh cuba mengurut bayi secara lembut sebelum menyusu untuk memberi bayi rasa selesa dan santai. Jika bayi masih tidak mahu menyusu selama beberapa hari, anda kena berjumpa dengan doktor.
6.Sering sendawa
Jangan terkejut kalau si kecil pun boleh sendawa. Salah satu petanda apabila perut si kecil penuh dengan angin adalah mereka akan kerap sendawa siang dan malam. Bayi sering sendawa untuk mengeluarkan gas yang terkumpul di dalam saluran penghadaman malah kerap kentut. Apabila si manja anda kerap sendawa dan kentut, boleh cuba mengurut belakang bayi secara perlahan.

Foto: TheBump.com
Baca juga: Budak 12 Tahun Terpaksa Jalani Dialisis Seumur Hidup Akibat Kerap Makan Ayam Goreng
Sumber: PopMama
Foto: Morinaga.Id
