Seorang pemandu e-hailing berdepan pengalaman mencemaskan apabila satu perjalanan pendek melibatkan tambang hanya RM7 bertukar menjadi insiden pertengkaran tegang dengan penumpang di dalam kenderaannya sehingga penumpang tersebut tampar isteri.
TAMPAR ISTERI DALAM E-HAILING, RM7 PUNCA KEKECOHAN

Foto: Threads @stanleyloi
Menurut perkongsian di Threads oleh @stanleyloi, kejadian dipercayai berlaku di kawasan Seremban ketika pasangan suami isteri bersama seorang bayi sedang menggunakan perkhidmatan e-hailing tersebut.
Difahamkan, penumpang lelaki terbabit menyerahkan wang tunai RM50 kepada pemandu selepas perjalanan selesai. Namun, pemandu berkenaan didakwa tidak mempunyai baki wang kecil yang mencukupi untuk dipulangkan.
Situasi itu kemudiannya mencetuskan pertikaian apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung kaedah pembayaran alternatif.
Pemandu berkenaan turut mendakwa beliau telah mencadangkan penggunaan pembayaran digital seperti Touch ‘n Go eWallet sebagai penyelesaian, namun keadaan masih tidak dapat ditenangkan.
Malah, pemandu tersebut turut memaklumkan dia sanggup menghalalkan tambang RM7 itu sekiranya masalah pembayaran berkenaan tidak dapat diselesaikan dengan baik.
Pertengkaran Didakwa Semakin Tegang

Foto: Threads @stanleyloi
Bagaimanapun, keadaan didakwa mula menjadi semakin tegang apabila penumpang lelaki terbabit meninggikan suara dan mempertikaikan isu penyediaan wang baki.
Menurut perkongsian tersebut, suasana di dalam kenderaan menjadi lebih mencemaskan apabila lelaki berkenaan yang sedang memangku bayi didakwa bertindak agresif terhadap isterinya sendiri.
Wanita terbabit dipercayai cuba menenangkan keadaan, namun lelaki itu didakwa bertindak menampar isterinya ketika pertengkaran sedang berlaku.
Tindakan tersebut mengejutkan pemandu e-hailing berkenaan memandangkan insiden itu berlaku di hadapan bayi mereka sendiri.
Pemandu Minta Penumpang Keluar Dari Kenderaan
Susulan keadaan yang semakin tidak terkawal, pemandu berkenaan kemudiannya meminta pasangan tersebut keluar dari kenderaan demi keselamatan semua pihak.
Dia turut memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada syarikat e-hailing berkaitan insiden tersebut.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang didakwa memaparkan kejadian itu turut dikongsikan di media sosial dan mula mendapat perhatian ramai netizen.
Netizen Kecam Tindakan Tampar Isteri
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap tindakan agresif yang didakwa berlaku sepanjang insiden tersebut.
Ramai turut menyuarakan kebimbangan kerana pertengkaran itu berlaku di hadapan seorang bayi selain mengecam sebarang bentuk kekerasan terhadap wanita.
Dalam masa sama, ada juga netizen mengingatkan kepentingan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi mengelakkan isu berkaitan wang baki daripada menjadi punca pertikaian.
Baca juga: “Baru Lepas Solat Aidiladha…” Wanita Maut Dalam Kemalangan Di Machang, Suami Cedera Parah
Sumber: Threads @stanleyloi
FT Images: Threads @stanleyloi
