Kawasan parkir sering dianggap lokasi biasa yang selamat untuk keluar masuk kenderaan. Namun, tanpa disedari, ia juga boleh menjadi sasaran mudah penjenayah yang menggunakan taktik licik untuk memperdaya mangsa.
Dalam keadaan tergesa-gesa atau kurang peka terhadap sekeliling, seseorang individu boleh terperangkap dengan taktik untuk mengalih perhatian. Jadi, kesedaran awal dan sikap berhati-hati sangat penting bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Baca juga: Pakar Dedah Taktik Scammer Akses Data Telefon, Hanya Guna Jemputan Kahwin Palsu
TAKTIK LICIK PENJENAYAH DI KAWASAN PARKIR

Foto: Gemini AI
Kawasan parkir, khususnya parkir bawah tanah, sering menjadi lokasi yang agak gelap dan kurang pengawasan.
Keadaan pencahayaan yang terhad serta suasana sunyi menjadikan kawasan ini lebih berisiko kerana memberi kelebihan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan perancangan tanpa mudah dikesan.
Antara taktik yang sering digunakan untuk memperdayakan mangsa ialah:
1. Beg atau dompet diletakkan berhampiran tayar kereta

Foto: Instagram @purplebloom.store
Objek seperti ini sengaja ditinggalkan untuk menarik perhatian mangsa.
Apabila mangsa keluar semula untuk memeriksa, penjenayah boleh mengambil kesempatan sama ada untuk mendekati atau mencuri barangan dalam kereta.
2. Wang kertas diselit pada pengelap cermin (wiper)

Foto: Instagram @purplebloom.store
Situasi ini nampak seperti “rezeki terpijak”, namun sebenarnya satu perangkap.
Mangsa yang keluar untuk mengambil wang tersebut berisiko terdedah kepada ancaman jenayah.
3. Kertas atau objek diselit pada pintu kenderaan

Foto: Instagram @purplebloom.store
Kertas yang kelihatan seperti notis penting boleh menyebabkan mangsa hilang fokus.
Dalam masa singkat itu, penjenayah boleh bertindak tanpa disedari.
4. Troli diletakkan di belakang kereta

Foto: Instagram @purplebloom.store
Mangsa mungkin hanya menyedari kewujudan troli selepas mengundurkan kenderaan.
Apabila keluar untuk memeriksa, itulah peluang yang dinanti oleh penjenayah.
Risiko Yang Ramai Pandang Remeh
Taktik-taktik ini mungkin kelihatan kecil dan tidak berbahaya, namun sebenarnya boleh menjadi permulaan kepada jenayah lebih serius seperti kecurian, samun, atau gangguan keselamatan diri.
Kawasan parkir yang sunyi, gelap, atau kurang pengawasan menjadikan situasi ini lebih berisiko.
Mangsa yang panik atau bertindak tanpa berfikir panjang lebih mudah menjadi sasaran.
Langkah Mudah Untuk Lindungi Diri
Bagi mengelakkan menjadi mangsa, beberapa langkah mudah yang boleh dipraktikkan
- Sentiasa perhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk ke dalam kereta
- Terus kunci pintu sebaik sahaja berada di dalam kenderaan
- Jangan keluar semula jika ternampak objek mencurigakan, sebaliknya pandu ke kawasan lebih selamat
- Pilih tempat parkir yang terang dan mempunyai pengawasan CCTV
- Jika rasa tidak selamat, segera dapatkan bantuan
Keselamatan diri bergantung kepada tahap kepekaan kita terhadap persekitaran. Jangan mudah terpedaya dengan perkara kecil yang kelihatan remeh kerana ia mungkin taktik yang telah dirancang.
Lebih baik berwaspada daripada menyesal, utamakan keselamatan setiap kali berada di kawasan parkir.
View this post on Instagram
Baca juga: Takut Nak Tinggal Rumah Lama-Lama Masa Raya? Ini Tips Elak Kediaman Kena Pecah Masuk!
Sumber: Instagram @purplebloom.store
FT Images: Gemini AI dan Instagram @purplebloom.store
