Euforia Bola 2026
Nur

Arab Saudi Perkenal Syarat Baharu Haji 2026, Bakal Jemaah Perlu Bayar Dam Awal Kalau Nak Visa Haji LULUS

visa haji

Selain menyambut Ramadan, bakal jemaah haji tahun 2026 perlu ambil perhatian penting ini. Kerajaan Arab Saudi kini menetapkan bayaran dam sebagai pra-syarat wajib sebelum visa haji dikeluarkan bermula Musim Haji 1447H/2026M.

Perkara itu dimaklumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) susulan ketetapan baharu daripada pihak Arab Saudi yang mewajibkan semua jemaah haji yang menunaikan Haji Tamattuk dan Qiran membuat bayaran dam lebih awal melalui platform rasmi yang diiktiraf.

Baca juga: Checklist 32 Barang Yang Boleh Dibawa Ketika Tunaikan Haji, Tak Pening Nak Kemas Beg!

Bayaran Dam Perlu Dibuat Melalui ADAHI, Kalau Tidak…Akaun Visa Haji Dibekukan

visa haji

Foto hiasan Ai.

Menurut TH, pembayaran dam perlu dibuat kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI), iaitu badan rasmi yang menguruskan pelaksanaan dam dan qurban di Tanah Suci. Kadar yang ditetapkan bagi seekor kibas ialah RM810.

Bagi memudahkan urusan jemaah Malaysia, TH akan menguruskan bayaran tersebut bagi pihak jemaah. Pembayaran boleh dibuat mengikut jenis ibadat haji melalui:

  • Aplikasi THiJARI
  • Kaunter cawangan Tabung Haji seluruh negara

Urusan pembayaran akan mula dibuka bermula 1 Ramadan.

Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran sebelum 1 Syawal, TH akan mengambil langkah membekukan amaun RM810 dalam akaun masing-masing sebelum mendebitkan secara automatik.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, pelaksanaan melalui ADAHI ini merupakan syarat baharu yang dikenakan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang menunaikan Haji Tamattuk dan Qiran.
TH mengambil inisiatif memaklumkan perkara ini lebih awal supaya proses pengeluaran visa haji berjalan lancar dan tidak terganggu.

Semua bakal haji yang memilih Haji Tamattuk dan Qiran diwajibkan menyelesaikan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci.
Bagaimanapun, bagi jemaah yang melaksanakan Haji Ifrad, bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun telah didebit, tertakluk kepada pengesahan TH.

Penyertaan Qurban Juga Dibuka Kepada Pendeposit

Dalam perkembangan sama, penyertaan Qurban di Tanah Suci tahun ini turut dibuka kepada semua pendeposit Tabung Haji dengan kadar RM810 seekor kibas. Pembayaran boleh dibuat menerusi aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH seluruh negara.

Namun, TH turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran pembayaran dam atau Qurban yang meragukan daripada agensi pelancongan atau pihak tidak bertauliah.

Ini kerana pelaksanaan dam dan Qurban di Tanah Suci memerlukan kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi. Tawaran tidak sah berisiko menyebabkan ibadah tidak diiktiraf.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi Tabung Haji atau menghubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Bakal jemaah haji 2026 dinasihatkan agar membuat persediaan awal supaya urusan visa dan perjalanan ibadah berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi di saat akhir.

Baca juga: Cara Pergi Haji Guna Pakej Swasta, Kena Ambil Tahu Elak Ditipu

Sumber: Lembaga Tabung Haji

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×