Pencapaian Syahadah Ula, pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran yang diraih Tengku Umayr ‘Akef Tengku Asyraf, mengundang rasa kagum ramai selepas beliau berjaya mentasmik keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 15 jam 42 minit.
TENGKU UMAYR ‘AKEF RAIH PENGIKTIRAFAN TERTINGGI HAFAZAN AL-QURAN

Gambar: Maahad Tahfiz Al Fateh
Lebih membanggakan, beliau memperoleh keputusan Mumtaz Ma’a Martabat Syarof dengan markah 97.7 peratus, sekali gus mencatat antara pencapaian terbaik di institusi Maahad Tahfiz Al-Fateh.
Kejayaan itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Maahad Tahfiz Al-Fateh dan menerima ucapan tahniah daripada orang ramai yang menyifatkannya sebagai hasil kesungguhan, disiplin serta didikan berterusan daripada guru dan ibu bapa.
Tamat hafazan 30 juzuk dengan kelancaran luar biasa & tiada pembetulan daripada 6 panel penilai
Menurut pihak maahad, Tengku Umayr ‘Akef berjaya menamatkan ujian Syahadah Ula bermula seawal jam 4.30 pagi sehingga tamat pada waktu malam.
Lebih mengagumkan, beliau menyempurnakan sesi tasmik tersebut secara berdiri tanpa rehat, selain mengekalkan bacaan yang lancar sepanjang ujian berlangsung.
“Adik Tengku sudah ditanya beberapa kali, “tak nak duduk ke?” Jawapannya tidak.
“Mungkin takut tertidur dan sudah biasa tasmik berdiri,” jelas Ustaz @syedmfirdaus menerusi TikToknya.
Pihak maahad turut menyifatkan pencapaian itu sebagai yang terbaik pernah direkodkan di Maahad Tahfiz Al-Fateh dari segi kelancaran bacaan, ketepatan hafazan dan prestasi keseluruhan.
Menurut Mudir Maahad Tahfiz Al-Fateh, Ustaz Ahmad Lutfi Paridin, ketika memasuki 15 juzuk terakhir, Tengku Umayr ‘Akef seolah-olah berada dalam keadaan separa sedar akibat keletihan.
Namun, beliau tetap meneruskan bacaan dengan lancar tanpa memerlukan sebarang pembetulan daripada enam panel penilai yang menyemak hafazannya.
Malah, setiap ayat dibaca dengan tepat sehingga ke baris terakhir, sekali gus membuktikan kekuatan hafazan yang dibina melalui latihan dan pengulangan yang konsisten.

Gambar: Maahad Tahfiz Al Fateh
Berjaya dalam sehari hasil ribuan jam latihan
Menurut Ustaz Ahmad Lutfi, kejayaan itu bukan hadir dalam tempoh yang singkat.
Sebelum dibenarkan menduduki ujian Syahadah Ula, Tengku Umayr ‘Akef perlu mengulang hafazan sekurang-kurangnya enam kali khatam selepas melengkapkan hafazan 30 juzuk.
Beliau menjelaskan, pencapaian tersebut lahir daripada ribuan jam pengulangan, disiplin yang tinggi serta kesungguhan menjaga hafazan setiap hari.
Katanya lagi, kejayaan sebenar bukan sekadar kemampuan menghafal al-Quran, tetapi juga istiqamah memelihara hafazan walaupun berdepan keletihan dan pelbagai cabaran sepanjang proses pembelajaran.
Jaga adab dan cintai al-Quran jadi kunci kejayaan
Selain usaha yang berterusan, Ustaz Ahmad Lutfi turut mendedahkan bahawa adab terhadap guru menjadi antara faktor penting yang membentuk kejayaan Tengku Umayr.
Sepanjang 1,260 hari menuntut ilmu di Maahad Tahfiz Al-Fateh, beliau dikatakan tidak pernah membantah arahan guru mahupun mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.
Pada masa sama, Tengku Umayr ‘Akef sentiasa mengingatkan rakan-rakannya agar tidak mengabaikan hafazan al-Quran walaupun sibuk dengan pelbagai urusan lain.
Menurutnya, hafazan perlu sentiasa dijaga kerana maksiat dan kelalaian boleh menyebabkan seseorang mudah lupa ayat-ayat al-Quran yang telah dihafal.
APA ITU SYAHADAH ULA?
Menurut Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid, Syahadah Ula yang juga dikenali sebagai Syahadah Ulya, merupakan pengiktirafan tertinggi dalam sistem penilaian hafazan di beberapa institusi tahfiz.
Sebelum layak mendudukinya, seseorang pelajar perlu melepasi dua peringkat awal iaitu Syahadah Thalisah dan Syahadah Thaniah.
- Syahadah Thalisah: Mengkhatamkan bacaan 30 juzuk dalam tempoh tiga hari (10 juzuk sehari).
- Syahadah Thaniah: Membaca 15 juzuk dalam tempoh satu hari.
- Syahadah Ula: Mentasmik keseluruhan 30 juzuk dalam satu hari di hadapan panel bertauliah.
Hanya pelajar yang berjaya melepasi salah satu ujian tersebut akan dianugerahkan Syahadah Hafazan al-Quran, sekali gus diiktiraf sebagai hafiz dengan tahap hafazan yang memenuhi standard penilaian yang ditetapkan.
Kisah Tengku Umayr ‘Akef bukan sahaja menjadi inspirasi kepada pelajar tahfiz, malah membuktikan bahawa kejayaan dalam menghafaz al-Quran memerlukan gabungan ilmu, disiplin, adab, istiqamah serta sokongan berterusan daripada guru dan ibu bapa.
Sumber: Facebook (1) (2) (3) / TikToK
FT Image: Ustaz Ahmad Lutfi Paridin
