Seorang wanita yang menghidap asma kronik sejak kecil berkongsi pengalaman pilu apabila sering menjadi perokok pasif akibat persekitaran keluarga yang terdedah kepada asap rokok.
“Saya masih ingat doktor berulang kali bertanya kepada saya, ‘Awak merokok ke?’ Barulah saya faham soalan itu kerana doktor menyangka saya merokok disebabkan keadaan paru-paru yang rosak..”
Baca juga: Tindakan Pengetua Tutup Pagar Sekolah 7.30 Pagi Untuk Kekang Pelajar Ponteng Cetus Kontroversi
SURI RUMAH DERITA ASMA KRONIK AKIBAT ASAP ROKOK

Demikian luahan seorang suri rumah, Nor Azura Rasid, 33, yang kini berdepan pelbagai cabaran kesihatan akibat kesan jangka panjang asap rokok dalam kehidupan hariannya.
Menurut Azura, masalah kesihatannya sering berulang dan menjadi lebih serius apabila terdedah kepada asap rokok, lebih-lebih lagi apabila arwah bapanya dan abangnya merupakan perokok tegar dalam keluarga.
Lebih menyedihkan, kedua-dua ahli keluarga tersebut turut meninggal dunia akibat serangan jantung, sekali gus memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
“Benarlah kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa merokok boleh menyebabkan serangan jantung. Kesan asap rokok memberi impak sangat buruk terhadap kesihatan,” katanya.
Dia turut berkongsi bahawa keadaan kesihatannya pernah berada pada tahap kritikal sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tahun 2012 akibat serangan asma yang teruk.
Namun selepas menjalani rawatan pakar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, keadaan kesihatannya semakin stabil dan menunjukkan perubahan positif.
Kini, Azura lebih berhati-hati dalam persekitaran harian dan mengelakkan kawasan yang terdedah kepada asap rokok, termasuk pasar malam, selain memilih untuk hidup bersama pasangan yang tidak merokok.

“Saya sudah tiga tahun tidak pergi ke pasar malam kerana kawasan itu paling mudah terdedah kepada asap rokok. Sebagai penghidap asma kronik, saya tahu di luar sana ramai yang mahukan kawasan awam bebas asap rokok dan semoga suatu hari nanti ia dapat direalisasikan,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia aktif menggunakan media sosial seperti Threads untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya asap rokok, walaupun pernah menerima kritikan daripada segelintir pengguna media sosial sebelum ini.
“Saya berharap lebih ramai orang cakna terhadap kesan asap rokok kepada perokok dan orang sekeliling.
“Termasuklah lebih ramai yang lantang bersuara sama ada di media sosial atau di kawasan larangan merokok untuk menegur pelaku kesalahan ini,” ujarnya.
Baca juga: Saat Ditunggu Tiba! Semakan Kemasukan IPTA, Kolej Komuniti, Politeknik & MARA BPT Dibuka Hari Ini
Sumber: Sinar Harian & Azura Flower456
