Dalam kesibukan pagi, ramai antara kita terutamanya suami melangkah keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Malah ada yang tak sempat bersarapan, apatah lagi situasi suami cium isteri sebelum mencari rezeki.
Pernahkah anda terfikir bahawa satu ciuman kecil sebelum ke tempat kerja ini sebenarnya boleh membawa kesan besar kepada kesihatan dan jangka hayat anda?
Baca juga: Trend Bulan Madu Di Makkah Makin Popular, Katanya Lebih Romantik & ‘Dekat’ Dengan Allah SWT?
SUAMI CIUM ISTERI SEBELUM PERGI KERJA, HIDUP 5 TAHUN LEBIH LAMA

Foto: freepik
Satu kajian psikologi dari Jerman pada tahun 1980-an mendapati bahawa lelaki yang mencium isteri mereka setiap pagi sebelum ke tempat kerja hidup kira-kira lima tahun lebih lama, lebih produktif, dan kurang terlibat dalam kemalangan jalan raya berbanding lelaki yang tidak berbuat demikian.
Kajian ini dijalankan oleh Dr. Arthur Sazbo dan rakan-rakannya, dan diterbitkan dalam laporan oleh syarikat insurans di Jerman. Mencium pasangan bukan hanya sekadar satu bentuk kasih sayang, malah ia merangsang penghasilan hormon-hormon penting seperti:
1. Oksitosin – Dikenali sebagai “hormon kasih sayang”, yang meningkatkan kepercayaan, ikatan emosi, dan rasa tenang.
2. Dopamin – “Hormon kegembiraan”, yang mencetuskan perasaan bahagia, motivasi, dan kepuasan.
Dalam masa yang sama, amalan ini membantu mengurangkan penghasilan kortisol, iaitu hormon utama yang dikaitkan dengan tekanan. Tahap kortisol yang tinggi secara berpanjangan boleh memberi kesan negatif seperti:
– Tekanan darah tinggi
– Sistem imun yang lemah
– Masalah tidur
– Risiko penyakit kronik seperti diabetes dan sakit jantung
Lebih Daripada Sekadar Romantis

Foto: Freepik
Walaupun nampak remeh, ciuman pagi adalah satu bentuk komunikasi emosi yang kuat. Ia memberikan mesej bahawa pasangan anda disayangi, dihargai dan difikirkan walaupun dalam kesibukan rutin harian.
Hubungan emosi yang kukuh telah terbukti menyumbang kepada kesejahteraan mental dan fizikal. Kajian daripada Harvard Study of Adult Development, salah satu kajian jangka panjang paling lama di dunia, menunjukkan bahawa hubungan yang sihat adalah penunjuk utama kepada kebahagiaan dan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Malah, dalam Islam sendiri juga menyarankan amalan-amalan kecil seperti mencium pasangan ini bukan sahaja memperkukuh kasih sayang, tetapi juga menyumbang kepada kesihatan mental dan fizikal yang lebih baik, serta meningkatkan jangka hayat. Dalam dunia yang serba pantas, jangan abaikan detik-detik kecil yang penuh makna ini.
*Ciuman anda mungkin lebih berharga daripada yang anda sangka!
Baca juga: “Tak Semua Perkahwinan Perlu Anak”- 6 Punca Fenomena Pasangan ‘Childfree’ Di Malaysia Meningkat
Sumber: Psychology Today
