Dalam kehidupan berumahtangga, ada situasi yang sering berlaku apabila seseorang ingin menunaikan solat awal waktu, namun pada masa sama ingin menunggu pasangan untuk solat berjemaah bersama.
Keadaan ini kadangkala menimbulkan persoalan mengenai tindakan mana lebih afdal solat sendiri pada awal waktu atau menunggu pasangan walaupun sedikit lewat?
SOLAT AWAL WAKTU ATAU TUNGGU PASANGAN UNTUK BERJEMAAH?

Secara umumnya, para ulama menjelaskan bahawa yang paling baik ialah menggabungkan kedua-dua keutamaan, iaitu menunaikan solat berjemaah pada awal waktu. Namun, jika keadaan tidak mengizinkan, terdapat beberapa panduan yang boleh dijadikan rujukan.
Menurut pandangan ulama seperti Imam al-Mawardi, solat berjemaah tetap lebih utama walaupun dilakukan sedikit lewat berbanding solat bersendirian pada awal waktu.
Namun, Imam al-Ghazali pula berpandangan bahawa menunaikan solat pada awal waktu secara sendirian adalah lebih utama berbanding menunggu hingga lewat untuk berjemaah.
Imam al-Nawawi merumuskan bahawa jika mampu, seseorang boleh menunaikan solat pada awal waktu secara sendirian terlebih dahulu, kemudian mengulangi solat bersama pasangan sebagai solat sunat. Ini memberi ruang untuk mendapatkan kedua-dua kelebihan iaitu awal waktu dan pahala berjemaah.

Namun, jika hanya ingin menunaikan solat sekali sahaja, maka menunggu untuk berjemaah adalah lebih afdal, dengan syarat diyakini solat tidak akan terlepas waktunya dan penantian tersebut tidak terlalu lama sehingga membawa kepada kelalaian.
Hal ini turut disokong dengan hadis Nabi SAW yang mengingatkan agar solat ditunaikan pada waktunya dan jika sempat, maka solat berjemaah boleh dilakukan apabila ia didirikan.
“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat sendirian sebanyak 27 rakaat.” (HR Muslim)
Secara kesimpulannya, kedua-dua amalan ini mempunyai kelebihan tersendiri. Solat awal waktu sangat dituntut dalam Islam, manakala solat berjemaah pula menjanjikan pahala yang lebih besar. Oleh itu, keseimbangan perlu diambil berdasarkan situasi.
Jika mampu, lakukan kedua-duanya. Jika tidak, pilihlah yang lebih membawa manfaat tanpa mengabaikan waktu solat yang telah ditetapkan oleh syarak.
Baca juga: Ada Penjelasan Kenapa Sebut ‘Amin’ Selepas Baca Al-Fatihah, Ini Hukum & Maksudnya
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun
