Dua beradik kehilangan nyawa ketika menemani nenek mereka di sebuah ladang jagung, baru-baru ini, selepas terkena sengatan tebuan dalam jumlah yang banyak. Kejadian menyayat hati itu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan adiknya, seorang perempuan berusia dua tahun.
Insiden bermula apabila kedua-dua beradik itu yang sedang bermain berhampiran hutan pain tiba-tiba menjerit meminta pertolongan. Jeritan mereka mengejutkan penduduk kampung yang berada berdekatan lalu menyedari sesuatu yang buruk telah berlaku.
Baca juga: Bukan Sekadar Indonesia, 4 Negara Ini Juga Berhadapan Amukan Rakyat Yang Gegar Dunia!
DUA BERADIK MAUT TERKENA SENGATAN TEBUAN

Gambar oleh Handout: Kebiasaannya, adik-beradik itu dijaga oleh datuk dan nenek mereka kerana ibu bapa bekerja sebagai buruh migran di wilayah timur Zhejiang.
Nenek mangsa, yang ketika itu sedang bekerja di ladang, bergegas menyelamatkan cucu-cucunya.
Dia terlebih dahulu mendukung cucu lelaki keluar dari kawasan itu sebelum kembali semula untuk menyelamatkan cucu perempuan. Malangnya, usaha tersebut tidak berjaya menyelamatkan nyawa si kecil itu.
Pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu telah meninggal dunia di lokasi. Abangnya sempat dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya.

Gambar hiasan Shutterstock: Di Luoping, China, penternak lebah dapat dilihat menjaga ladang bunga canola yang terkenal dengan keindahan mekarnya pada awal musim bunga.
Berita duka itu hanya diketahui ibu bapa mangsa selepas mereka pulang dari tempat kerja di wilayah lain. Kesedihan mereka bertambah apabila mendengar penjelasan doktor mengenai jumlah sengatan yang dialami kedua-dua anak mereka.
“Kedua-dua anak saya disengat di seluruh badan iaitu kepala, lengan, kaki, belakang dan perut. Tiada bahagian badan yang terlepas,” kata bapa mangsa dikenali sebagai Yang ketika ditemui.
Hasil pemeriksaan pakar forensik mendapati si abang mengalami lebih daripada 300 sengatan, manakala si adik kecil menerima kira-kira 700 sengatan di seluruh tubuh. Jumlah itu dipercayai punca utama kedua-dua mangsa tidak dapat diselamatkan.
Menurut laporan South China Morning Post, insiden tragis tersebut berlaku pada 28 Jun lalu di daerah Muding, wilayah Yunnan, barat daya China. – AGENSI
Baca juga: Tular Pengantin Teruskan Nikah Di Hospital Kerana Kemalangan, Momen Penuh Sebak Raih Doa Netizen
Sumber: Kosmo!
FT Image: Handout
