Euforia Bola 2026
40 Minggu

Dulu Biasa Makan Bila Demam & Selesema, Rupanya Bila Hamil…6 Ubat OTC Ini Tak Boleh Diambil Sesuka Hati!

ubat OTC

Apabila mengalami demam, sakit kepala atau selesema, ramai antara kita akan terus mencapai ubat OTC (over the counter) yang mudah didapati di farmasi. Namun bagi wanita yang sedang hamil, tidak semua ubat yang biasa diambil sebelum ini sesuai digunakan sepanjang tempoh kehamilan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai bahawa sesetengah ubat yang dijual secara bebas atau OTC boleh memberi risiko kepada kandungan jika diambil tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.

Baca juga: Mata Merah Teruk Macam ‘Sasuke’ Selepas Bersalin, Ibu Ini Cerita Kesilapannya Semasa Meneran!

SENARAI UBAT OTC IBU HAMIL TAK PATUT AMBIL SEMBARANGAN

ubat OTC

Gambar hiasan: Gemini AI

Menurut PHM, ramai wanita hanya menyedari perkara ini selepas hamil, sedangkan sebelum itu ubat-ubatan tersebut mungkin menjadi pilihan utama apabila mengalami masalah kesihatan ringan.

Kenapa ibu hamil perlu lebih berhati-hati? 

Ketika hamil, setiap ubat yang masuk ke dalam badan ibu berpotensi memberi kesan kepada bayi yang sedang berkembang.

Atas sebab itu, pemilihan ubat tidak boleh dibuat berdasarkan jenama semata-mata. Sebaliknya, ibu hamil perlu mengetahui bahan aktif yang terkandung dalam sesuatu ubat dan mendapatkan nasihat profesional sebelum mengambilnya.

Senarai Ubat OTC Yang Tidak Patut Diambil Sesuka Hati Ketika Hamil

1. Ibuprofen

Ubat ini sering digunakan untuk merawat sakit kepala, sakit badan dan demam. Namun ia bukan pilihan utama untuk wanita hamil, terutama pada peringkat tertentu kehamilan.

2. Naproxen dan Diclofenac

Kedua-dua ubat ini tergolong dalam kumpulan ubat tahan sakit yang sama seperti ibuprofen dan tidak digalakkan diambil tanpa nasihat doktor.

3. Ubat selsema yang ada pseudoephedrine

Ramai pengguna tidak menyedari bahan ini terdapat dalam pelbagai ubat selesema dan hidung tersumbat yang dijual bebas.

4. Ubat selsema yang ada phenylephrine

Phenylephrine juga merupakan bahan yang biasa digunakan untuk melegakan hidung tersumbat, namun penggunaannya ketika hamil perlu mendapatkan nasihat profesional.

5. Ubat “all in one” untuk flu, batuk dan hidung tersumbat

Produk yang menggabungkan pelbagai bahan aktif untuk merawat selesema, batuk dan hidung tersumbat boleh menyebabkan pengguna terlepas pandang kandungan sebenar ubat tersebut.

6. Aspirin yang diambil sendiri sebagai ubat tahan sakit

Walaupun aspirin kadangkala digunakan dalam rawatan tertentu semasa kehamilan, ia hanya boleh diambil atas arahan doktor dan bukan secara suka-suka.

ubat OTC

Baca juga: Jangan Ambil Jalan Singkat, JPN Kongsi Prosedur Sah Jika Hamil Luar Nikah & Kalau Tak Mampu Nak Jaga

Menurut PHM, satu ayat yang sangat penting untuk disebut sebelum membeli ubat ialah, “Saya sedang hamil. Ubat ini selamat tak untuk wanita hamil?”

Jika mengalami demam atau sakit ringan, paracetamol biasanya lebih kerap menjadi pilihan yang sesuai. Namun begitu, setiap keadaan adalah berbeza dan nasihat doktor atau ahli farmasi tetap perlu diutamakan.

Kadang-kadang bahaya bukan datang daripada ubat yang dianggap kuat, tetapi daripada ubat yang terlalu biasa digunakan sehingga kita menganggap ia sentiasa selamat. Oleh itu, ibu hamil disarankan supaya lebih berhati-hati sebelum mengambil sebarang ubat OTC sepanjang tempoh kehamilan.

Sumber: Facebook Public Health Malaysia 

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×