Ubat NSAIDs bukanlah pilihan selamat untuk diberikan kepada anak yang sedang mengalami demam akibat jangkitan virus seperti influenza. Amaran ini dikongsikan oleh seorang doktor, Dr Rusydina, menerusi laman TikTok beliau selepas melihat peningkatan kes kanak-kanak yang dijangkiti virus sehingga perlu dimasukkan ke wad.
Baca juga: Setiap Teguk Minuman Panas Dalam Cawan Kertas Ada ‘Racun’? Kajian Dedah Tingkat Risiko Kanser!
JANGAN BERI UBAT NSAIDs PADA ANAK DEMAM INFLUENZA!

Ketika ini, negara sedang berdepan musim jangkitan influenza dan ramai ibu bapa bimbang apabila anak demam berpanjangan.
Namun, menurut Dr Rusydina, penggunaan ubat dalam kumpulan NSAIDs (Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs) ketika demam virus boleh membawa risiko yang sangat berbahaya. Kumpulan NSAIDs termasuklah Supp Voren atau Diclofenac dan Syrup Ibuprofen seperti Nurofen.
“Ubat-ubatan ini memang boleh bantu turunkan suhu badan, tapi ia termasuk dalam kategori NSAIDs. Penggunaan NSAIDs ketika demam akibat jangkitan virus, khususnya influenza, boleh menyebabkan Acute Necrotizing Encephalopathy in Childhood (ANEC),” jelasnya.
Apa Itu ANEC?
ANEC ialah komplikasi jarang tetapi sangat berbahaya yang boleh berlaku akibat jangkitan virus. Ia menyebabkan keradangan dan pembengkakan pada otak.
Antara simptom awal yang ibu bapa perlu awasi termasuklah:
- Demam tinggi
- Sering muntah
- Anak kelihatan terlalu mengantuk atau kurang sedar
- Sawan
Menurut Dr Rusydina, komplikasi ANEC boleh memberi kesan jangka panjang terhadap otak kanak-kanak.
“ANEC ini bahaya, dikhuatiri ada kesan jangka panjang kepada otak kanak-kanak tersebut. Jadi apa yang ibu bapa boleh buat, adalah beri ubat demam dalam kategori Paracetamol.
“Kalau anak demam tinggi yang luar biasa, buat ujian saringan influenza. Kalau positif, dapatkan rawatan anti-virus,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak memberi ubat tanpa nasihat doktor, kerana tidak semua demam perlu dirawat dengan ubat kuat. Pemantauan suhu, rehat mencukupi dan hidrasi juga sangat penting untuk membantu proses pemulihan anak.
Kesimpulan
Nasihat ini wajar diambil serius oleh semua ibu bapa, terutama ketika musim influenza sedang melanda. Walaupun ubat NSAIDs nampak berkesan untuk menurunkan demam, risikonya jauh lebih besar daripada manfaatnya bagi kanak-kanak yang dijangkiti virus.
Jadi, sebelum memberi sebarang ubat, pastikan ia selamat dan disahkan sesuai oleh doktor.
Baca juga: Kerana Kurap Badan Merenyam Tak Boleh Kawal, Sapu 5 Bahan Semula Jadi Ini Pada Kulit Terus Baik!
Sumber: TikTok @dr.rusydina
FT Image: TikTok @dr.rusydina / Google
