Euforia Bola 2026
Dapur

RAHSIA Nasi Ayam Madu Sedap & Dijamin ‘Juicy’, Ikut Resepi Ini Memang Akan Puas Hati!

resepi nasi ayam madu

Nasi ayam madu adalah hidangan yang cukup digemari ramai kerana gabungan rasa manis, masin, dan sedikit berempah yang begitu menyelerakan. Resepi nasi ayam madu yang diperap dengan madu dan rempah pilihan, kemudian dipanggang atau digoreng hingga keemasan, menjadikannya hidangan ini sukar untuk ditolak.

Ditambah pula dengan nasi yang dimasak bersama sup ayam serta sos istimewa, setiap suapan pasti memberikan kepuasan. Jadi, apa kata jadikan menu ini sebagai juadah iftar petang nanti bersama keluarga. Mesti tambah nasi berpinggan-pinggan!

Baca juga: Memang Padu Masak Kari Ayam, Daging & Kambing Letak 5 Rencah Ini, Rasa Macam Makan Dengan Salman Khan!

RESEPI NASI AYAM MADU PALING MENJILAT JARI, HARI HARI MAHU!

resepi nasi ayam madu

Jom kita lihat cara penyediaannya!

#Bahan A (Untuk rebusan ayam):

– ½ ekor ayam (cuci, buang kulit dan lemak)
– 1 biji bawang besar (potong kasar)
– 3 ulas bawang putih (ketuk)
– 2 batang serai (ketuk)
– 1 inci halia (ketuk)

Cara penyediaan:

1. Masukkan air (agak-agak sesuai dengan kuantiti ayam), kemudian masukkan bawang besar, bawang putih, serai dan halia.
2. Setelah mendidih, masukkan ayam dan biarkan hingga ayam sedikit empuk.
3. Toskan ayam dan asingkan. Jangan buang air rebusan ayam, simpan untuk digunakan kemudian.

#Bahan B (Untuk nasi – sambil menunggu bahan A masak):

– 2 ½ cawan beras
– 2 ulas bawang merah (potong halus)
– 3 ulas bawang putih (potong halus)
– 1 inci halia (potong halus)
– 1 batang kulit kayu manis
– 1 kuntum bunga lawang
– 5 kuntum bunga cengkih
– 1 helai daun pandan
– 1 sudu butter/margerin
– 1 kiub pati ayam
– Lemak dan kulit ayam yang disimpan tadi
– Sedikit serbuk kunyit
– Garam (jika perlu)

Cara penyediaan:

1. Panaskan butter/margerin dan masukkan kulit serta lemak ayam. Kacau hingga minyak lemak ayam keluar.
2. Keluarkan lemak dan kulit ayam tersebut, kemudian tumis semua bahan B sehingga naik bau.
3. Setelah itu, masukkan beras yang telah dicuci, kiub ayam, sedikit serbuk kunyit dan kacau sebati.
4. Tambahkan air rebusan ayam yang disimpan tadi. Kuantiti air seperti masak nasi biasa. (Jika ada lebihan air rebusan, jangan buang, simpan untuk kegunaan lain.)

#Bahan C (Untuk perapan ayam & goreng):

– 2 ulas bawang putih (tumbuk/ketuk hancur)
– ½ inci halia (tumbuk/ketuk hancur)
– 2 sudu besar sos tiram
– 1 sudu besar sos lada hitam
– ½ sudu besar gula merah (yang telah dibancuh pekat)
– ½ sudu kecil minyak bijan
– Kicap manis secukupnya
– Kicap pekat/masin secukupnya
– Madu (guna hanya ketika hendak digoreng)

Cara perapan:

1. Masukkan sedikit air dalam bawang putih dan halia yang telah diketuk hancur. Ramas bawang putih dan halia,
2. kemudian tapis untuk ambil jus/airnya sahaja.
3. Masukkan jus ini ke dalam ayam, diikuti dengan bahan-bahan C yang lain. Gaul rata dan perap selama 1 jam. Lagi lama diperap, lagi sedap.
4. Jangan buang lebihan bahan perapan.

Cara goreng:

1. Panaskan minyak yang dicampur sedikit butter/margerin.
2. Goreng ayam dengan api perlahan atau sederhana. Sambil menggoreng, siramkan sedikit bahan perapan ke atas ayam untuk menambah rasa dan pekatkan tekstur perapan pada ayam.
3. Apabila ayam hampir masak, siramkan madu di atas ayam (gunakan sudu untuk merenjiskan madu). Jangan siram terlalu banyak, cukup untuk memberi kilat dan kelembutan pada ayam.
4. Setelah ayam masak dan teksturnya cantik (berkilat dan juicy), angkat dan hias di atas pinggan.

resepi nasi ayam madu

#BAHAN D (Untuk Sos, Kicap & sup):

– 5 biji cabai hidup (boleh tambah mengikut kepedasan masing-masing)
– 3 ulas bawang putih
– 5 sudu besar sos cili
– 1 sudu besar gula merah
– 1 biji air limau nipis (ikut keasidan)
– Garam secukup rasa
– Gula jika perlu

Cara penyediaan sos:

1. Kisar semua bahan bersama lebihan air rebusan A.
2. Masak atas api sehingga masak dan sebati.

Bahan kicap:

– Ambil lebihan bahan perapan ayam tadi, campurkan dengan air rebusan ayam (jika masih ada).
– Masak atas api sekejap, kemudian tambahkan sedikit kicap pekat/masin dan kicap manis mengikut rasa.

Bahan sup:

– Kaki/tengkok ayam
– 1 batang kulit kayu manis
– 1 kuntum bunga lawang
– 4 kuntum bunga cengkih
– 1 kiub pati ayam
– Lada sulah
– Daun sup
– Bawang goreng

Cara penyediaan sup:

1. Jika ingin cepat, tidak perlu tumis. Rebus semua bahan sekali gus hingga ayam masak dan secukup rasa.
2. Hidangkan sup dalam mangkuk dan taburkan daun sup serta bawang goreng di atasnya.

*Selamat mencuba dan selamat beriftar!

Baca juga: Resepi Rahsia Ayam Goreng KFC Guna Teknik Rendam Air, Jadi ‘Sebijik’ Macam Di Kedai!

Sumber: Mizzmoon Moon

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×