Apabila tiba 10 Muharram, umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat sebagai menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Di Johor, hari yang istimewa ini sering diraikan dengan hidangan tradisi penuh makna iaitu Bubur Asyura Johor.
Bukan seperti versi pantai timur yang manis, bubur Asyura Johor ini lebih kepada hidangan savoury (masin berempah), penuh rasa daging, sayur-sayuran dan rempah yang wangi. Sesuai dijadikan menu berbuka yang mengenyangkan, berkhasiat dan menyentuh nostalgia.
Baca juga: Tarikh Puasa Sunat Muharram 2025, Jangan Terlepas Kalau Nak ‘Bersihkan’ Dosa Setahun Lalu…
CARA BUAT BUBUR ASYURA JOHOR, TAK MANIS DAN LEBIH MENGENYANGKAN

Bahan-bahan:
– 2 cawan beras
– 2 cawan santan
– 1 labu bawang besar*
– 4 ulas bawang putih*
– 1 inci halia*
– 1 sudu besar udang kering*
– 2 cawan atau lebih daging lembu (boleh juga guna daging ayam kisar atau cincang)
– 1 sudu kecil serbuk lada putih
– 1 sudu kecil atau lebih serbuk lada hitam
– Kacang kuda (direndam semalaman)
– Sedikit daun sup (boleh juga letak daun saderi yang dipotong halus)
– Kentang dan lobak merah secukupnya (dipotong dadu)
– Garam dan gula secukup rasa
– Bawang goreng
– 3 sudu besar rempah soto atau rempah briyani (boleh juga guna serbuk rempah sup dan rempah kurma )
– 1 paket sup bunjut
– Rempah 4 sekawan
– Air secukupnya
– Serbuk perasa (jika suka, seperti serbuk pati ayam)
Cara-cara:

1. Kisar bahan bertanda (*) dan ketepikan terlebih dahulu.
2. Panaskan sedikit minyak, tumis set rempah 4 sekawan seketika dan masukkan bahan kisar, kemudian tumis sehingga sedikit garing dan naik bau.
3. Bancuh perencah soto, briyani atau sup dengan ½ cawan air dan masukkan dalam tumisan tadi, kemudian tumis seketika.
4. Masukkan daging ayam, lada hitam atau putih, sup bunjut dan sedikit air dulu, kemudian masak sehingga daging separuh lembut dan kacau seketika.
5. Masukkan beras dan kacang kuda, air secukupnya dan sedikit garam, kemudian boleh letak sedikit gula dan serbuk pati ayam jika suka.
6. Sentiasa kacau untuk mengelakkan bubur melekat dan apabila beras sudah kembang, masukkan kentang dan lobak merah.
7. Apabila kentang, lobak merah dan kekacang sudah lembut, masukkan santan dan air jika terlalu pekat, kemudian perasakan dengan garam secukupnya.
8. Apabila sudah masak, tabur bawang goreng, kacang tanah goreng dan daun sup atau daun saderi. Siap!
Selamat berpuasa dan selamat mencuba!
Baca juga: Senarai 30+ Jenis Ikan & Buah Kena SST 5% Bermula 1 Julai, Epal & Ikan Kembung Pun Jadi ‘Mewah’!
Sumber: Azrina Ein
