Peralihan ke arah pendigitalan perkhidmatan kenderaan terus diperkasakan apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan cukai jalan fizikal (Lesen Kenderaan Motor – LKM) tidak lagi dikeluarkan bermula 1 Februari 2026. Maka dengan pengumuman ini, orang ramai tidak lagi boleh renew road tax yang dapat secara fizikal seperti dahulu.
Baca juga: Rupanya Fungsi Touch N Go Pada MyKad Anda Ada Tarikh Luput, Ini Cara Untuk ‘Renew’
RENEW ROAD TAX DI TAHUN 2026, TIADA LAGI PELEKAT FIZIKAL

Foto: Pos Malaysia
Seiring dengan keputusan itu, Pos Malaysia turut memaklumkan bahawa semua perkhidmatan berkaitan percetakan slip cukai jalan di kaunter pejabat pos dan kios akan dihentikan sepenuhnya bermula tarikh sama.
Untuk rekod, JPJ telah mula memperkenalkan cukai jalan digital sejak Februari 2023 sebagai langkah berperingkat menghapuskan penggunaan pelekat dan slip kertas tradisional.
Kini, maklumat cukai jalan dan lesen memandu disimpan sepenuhnya secara digital menerusi aplikasi MyJPJ, dan boleh ditunjukkan terus dari telefon pintar apabila diminta oleh pihak penguat kuasa. Langkah ini bukan sahaja memudahkan urusan, malah selari dengan usaha kerajaan mengurangkan penggunaan kertas serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Ada Yang Selesa Digital, Ada Masih Mahu Fizikal

Foto: lowyat
Peralihan ini menerima reaksi bercampur dalam kalangan pengguna jalan raya. Sebahagian besar menyambut baik pendekatan digital kerana tidak lagi perlu berdepan masalah pelekat pudar, rosak atau tertanggal.
Namun begitu, masih ada segelintir pemilik kenderaan yang lebih selesa menyimpan salinan fizikal sebagai rujukan atau demi ketenangan fikiran, walaupun alternatif digital telah tersedia. Bagi pengguna yang masih mahu mendapatkan cukai jalan bercetak, permohonan masih boleh dibuat di Pos Malaysia sehingga 31 Januari 2026.
Selepas tarikh tersebut, tiada lagi perkhidmatan cetakan atau pengeluaran cukai jalan fizikal di semua saluran rasmi JPJ, termasuk MyEG dan PUSPAKOM.
Dalam perkembangan berkaitan, lesen memandu Malaysia (LMM) dalam bentuk kad fizikal masih ditawarkan kepada orang ramai.
Menurut pengumuman terbaharu Kementerian Pengangkutan, pemegang lesen kini boleh memilih untuk mendapatkan lesen bercetak di kaunter JPJ dan UTC di seluruh negara tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara.
Namun, perkhidmatan ini dikenakan bayaran RM20 untuk warganegara dan RM100 bagi bukan warganegara. Berita baiknya, warga emas, pemegang lesen Kelas A1 dan A, serta Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dikecualikan daripada sebarang bayaran.
Kesimpulannya, pendigitalan cukai jalan menandakan satu lagi langkah besar ke arah sistem pengangkutan yang lebih moden dan cekap. Walaupun mungkin mengambil masa untuk semua pihak menyesuaikan diri, perubahan ini dijangka memudahkan urusan jangka panjang serta mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal.
Kalau anda masih mahu simpan versi bercetak, pastikan urusan diselesaikan sebelum hujung Januari 2026 kerana selepas itu, semuanya benar-benar digital.
Baca juga: Cara Mohon Kad Fizikal Lesen Memandu & Kos Bayaran, Tak Perlu Kemukakan Bukti Penerbangan
Sumber: Pos Malaysia
