Euforia Bola 2026
Famili

Berat Ujian Ditanggung, Ibu Bapa OKU Besarkan Anak Usia 12 Tahun Ada 9 Masalah Kesihatan!

masalah kesihatan

Bukan satu atau dua, tetapi sembilan masalah kesihatan terpaksa ditanggung oleh Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid, 12 tahun, atau nama manjanya Rayyan, sejak usia sebulan.

Rayyan menghidap pelbagai komplikasi serius termasuk injap jantung bocor, saluran pernafasan sempit, jantung biru, jantung berlubang (tiga lubang), saluran darah dan jantung terbalik, bilik oksigen kecil, kerosakan satu bilik jantung, kerosakan kedua-dua paru-paru serta tekanan paru-paru tinggi.

Baca juga: Throwback Zaman Dulu! Ini 8 Wajah Terkini Pelakon Kanak-Kanak Popular & Karya Ikonik Mereka

RAYYAN TANGGUNG 9 MASALAH KESIHATAN SEJAK BAYI

masalah kesihatan

Gambar ihsan Annur Syakirah Mahazir: Rayyan 12 tahun, menghidapi 9 masalah kesihatan sejak usianya sebulan.

Akibat keadaan itu, Rayyan yang kini hanya seberat 19 kilogram dikategorikan sebagai pesakit paliatif dan bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan serta ubat-ubatan sepanjang hayat.

“Doktor kata peluang hidup Rayyan 50/50”

Rayyan bagaimanapun tidak berseorangan kerana dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapanya yang kedua-duanya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Menceritakan kisah itu, ibunya, Annur Syakirah Mahazir, 30, dari Kampung Padang Gelanggang yang juga OKU pendengaran akibat pekak telinga kanan berkata, penyakit anaknya dikesan ketika Rayyan berusia sebulan, ketika beliau masih dalam tempoh berpantang.

“Selepas Rayyan disahkan ada sakit jantung dan doktor kata keadaannya kritikal dengan peluang hidup 50/50.

“Disebabkan itu, Rayyan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan sedih kerana melihat penuh jarum di badannya.

“Selama 10 hari Rayyan ditidurkan (diintubasi) dan macam tak ada harapan tapi saya dengan suami terus berdoa.

“Syukur kerana sampai sekarang Allah SWT panjangkan umur walaupun keadaannya begitu,” katanya kepada Harian Metro.

Cabaran kewangan & kehidupan harian

Menurut Annur Syakirah, dia tidak bekerja, manakala suaminya, Mohd Yazid Lazim, 35, yang juga OKU penglihatan akibat masalah kornea pada mata kiri hanya mengambil upah melakukan kerja kampung.

Berikutan itu, cabaran terbesar mereka adalah kewangan bagi menampung keperluan Rayyan serta dua lagi anak yang masing-masing berusia lima dan sembilan tahun.

“Kami bukan orang senang, cari makan dengan usaha sendiri dan banyak kali juga putus asa sampai burnout.

“Bila tengok keadaan Rayyan, saya berasa tak patut ada perasaan itu sebab menjaganya (Rayyan) amanah Allah SWT…dia pun tak minta jadi begitu.

“Jadi susah macam mana pun, kami kena usaha cuma suami tak boleh kerja dengan orang kerana bila Rayyan masuk hospital, kena mohon cuti jadi kena dahulukan anak,” katanya.

Baca juga: [VIDEO] Ibu Menangis Hiba Terjumpa Insan Muka Seiras Anak Dah Meninggal Dunia 3 Tahun Di Tanah Suci

masalah kesihatan

Gambar ihsan Annur Syakirah Mahazir: Annur Syakirah Mahazir dan suami, Mohd Yazid Lazim bersama tiga anak mereka.

Bergantung mesin pernafasan, tetap diberi pendidikan

Buat masa ini, keadaan Rayyan dilaporkan stabil namun perlu sentiasa dipantau dan mengambil ubat sebanyak tiga kali sehari.

Rayyan menerima pendidikan di sekolah aliran Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), namun tidak dapat hadir secara konsisten disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi.

“Jadi apa boleh saya buat adalah jaga Rayyan dan tak letak harapan tinggi, cukup dia boleh berdikari, membesar dengan sihat serta panjang umur.

“Risau tetap ada kerana mesin pernafasan tak boleh tutup dan ada ketikanya tekanan paru-parunya tinggi tapi bersyukur kerana adiknya (anak yang lain) memahami walaupun masih kecil,” katanya yang juga memerlukan dana bagi membeli susu formula buat Rayyan.

Bapa Rayyan, Mohd Yazid Lazim pula berkata, beliau sentiasa mengharapkan anaknya diberi kesembuhan dan tidak sanggup melihat Rayyan terus menanggung penderitaan.

“Macam-macam kerja saya buat untuk keluarga antaranya ambil upah memotong rumput dan buat pendawaian.

“Tak kisah siang atau malam, saya akan buat selagi ada kerja. Syukur kerana bila keluar bekerja, isteri ada untuk bantu jaga Rayyan di rumah.

“Saya reda dengan ujian ini dan jadi kuat sebab isteri, malah kami mudah memahami satu sama lain kerana masing-masing OKU,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 152095965184 atas nama Annur Syakirah Mahazir.

Baca juga: Tular Ikat Kasut Sekolah Guna Getah, Netizen Puji Tindakan Pantas PIBG & Wajah Tampan Pelajar Macam Model!

Sumber: Harian Metro

FT Image: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×