Bila berbicara mengenai institusi diraja, sudah semestinya kita terbayang-bayangkan kedaulatan Raja dan Sultan yang memerintah negara. Tidak ketinggalan, untuk membimbing barisan Raja juga adalah Raja Permaisuri yang dilihat sebagai lambang kekuatan wanita.
Bukan itu sahaja, di sebalik menjadi lambang kekuatan wanita sebagai pemerintah, terselit juga kelembutan dalam wajah jelita yang menjadi idola ramai. Jadi, kali ini kami senaraikan antara 6 Raja Permaisuri negeri sering disebut ramai dek kecantikan yang memukau!
Baca juga: Kenali Wajah Putera & Puteri Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Segak Dan Jelita Semuanya!
6 RAJA PERMAISURI MALAYSIA YANG JELITA, RAJA PERMAISURI SELANGOR PUN ADA!
1.Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan

Foto: Warisan Permaisuri
Tuanku Zara Salim Davidson yang lahir pada 22 Mac 1973, adalah permaisuri (isteri) kepada Paduka Seri Sultan Perak yang ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Mempunyai raut wajah yang jelita, lembut dan kulit yang cantik menjadikan Tuanku Zara sebagai idola khususnya wanita seluruh Malaysia.
Baginda mempunyai darah campuran Inggeris di sebelah bapanya manakala di sebelah ibunya Sharifah Azaliah binti Syed Omar mempunyai darah campuran Melayu, Arab dan Siam. Bapanya Salim Davidson merupakan seorang peguam yang terkemuka.
Tuanku Zara Salim juga merupakan cicit kepada Sultan Kedah ke-26, Almarhum Sultan Hamid Halim Shah manakala datuknya, Syed Omar Bin Syed Abdullah Shahabuddin ialah Menteri Besar Kedah ketiga.
2.Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor

Foto: Selangor Royal Official
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang lahir pada 4 Jun 1971, merupakan Tengku Permaisuri Selangor dan isteri kepada Sultan Selangor yang ke-9, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Bukan sahaja elegan dan jelita, baginda permaisuri juga merupakan pencinta kucing di mana baginda memiliki lebih 10 ekor kucing peliharaan.
Sebelum ini, baginda pernah bekerja sebagai pramugari di Malaysia Airlines sebelum menjadi penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1996. Baginda merupakan penyampai berita yang yang berkaliber kerana pernah memenangi anugerah Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali.
Bekas rakan sekerjanya menyifatkan baginda sebagai seorang yang baik hati dan sopan, namun serius dan sangat berdisiplin ketika menjalankan tugas. Beliau juga bertindak sebagai mentor kepada penyampai berita yang lebih muda dan tidak pernah memandang rendah terhadap rakan sekerja lain.
3.Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Foto: BERNAMA
Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor. Bgainda merupakan Tengku Ampuan Pahang yang ke-5 dan Raja Permaisuri Agong ke-16. Baginda ialah permaisuri kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mempunyai darah kacukan Melayu-Inggeris, KDYMM Tunku Azizah juga terkenal dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan dan pernah mengeluarkan buku resipinya sendiri,”Air Tangan Tengku Ampuan Pahang” dan “Masakan Tradisional Pahang”.
Baginda juga sering turun padang berkenan menyantuni dan memasak untuk mangsa-mangsa banjir di Pahang serta membantu wanita yang mempunyai masalah untuk memperoleh cahaya mata dengan menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada tahun 2004.
4.Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Sultanah Kelantan

Foto: AWANI
Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah lahir pada 25 Februari 1988 di Prague, Republik Czech, merupakan Sultanah Kelantan dan permaisuri kepada Sultan Kelantan ke-29, Sultan Muhammad V.
Seperti yang kita tahu, Sultanah Kelantan agak privasi dengan kehidupan peribadi namun tidak ketinggalan untuk menemani baginda Sultan ke setiap majlis formal dan tidak formal. Sultanah Nur Diana Petra Abdullah juga merupakan penaung diraja untuk pelbagai pertubuhan dan badan-badan kebajikan di negeri Kelantan. Pertubuhan di bawah baginda terdiri daripada:
-Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Kelantan.
-Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negeri Kelantan.
5.Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah (Raja Permaisuri Johor)

Foto: Berita Harian
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang juga merupakan Raja Permaisuri Johor diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak. Baginda merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.
Permaisuri Johor mewarisi minat dan bakat seni ayahanda Baginda terutamanya dalam seni lukis. Baginda pernah menyertai beberapa pameran seni seperti pameran Galeri Seni Yayasan Warisan Johor (2003) dan pameran seni anjuran Maybank Kuala Lumpur yang memberi penghormatan kepada tiga generasi seniman Johor (2004).
Baginda Tuanku Permaisuri juga merupakan seorang penulis yang prolifik dan pernah mempunyai ruang akhbar khusus iaitu ‘On Common Ground’ untuk New Straits Times dan ‘Mind Matters’ untuk The Star. Bukan sahaja jelita dan kekal awet muda, baginda juga pernah menulis 4 buah buku kanak-kanak pada tahun 1995.
Raja Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, pada tahun 1982 semasa Tuanku Sultan masih bergelar Tunku Mahkota Johor dan kini merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
6. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu

Foto: NONA
Sultanah Nur Zahirah lahir pada 7 Disember 1973 merupakan Sultanah Terengganu dan Raja Permaisuri Agong ke-13. Baginda adalah permaisuri kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu dan Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Nicholas Convent, Alor Setar dan Sekolah Menengah St. Nicholas Convent, Alor Setar. Baginda juga pernah mengikuti kursus dalam bidang sumber manusia. Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996 dan pasangan diraja ini dikurniakan 4 orang anakanda.
Mempunyai raut wajah Melayu tulen yang sangat manis dipandang, baginda juga mempunyai minat yang mendalam tentang hiasan dalaman dan gemar memasak.
Baca juga: ‘Prince Charming’ Di Alam Nyata, Ini Biodata Penuh Tengku Hassanal Yang Ramai Nak Tahu!
