Dalam kehidupan seharian, penggunaan pemanas air (water heater) memang sudah jadi keperluan biasa di kebanyakan rumah, terutama bagi yang mahu mandi air suam dengan selesa.
Namun, satu kejadian tragis baru-baru ini menjadi peringatan kepada orang ramai bahawa peralatan elektrik di bilik mandi bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Baca juga: Salah Tekan Pedal Minyak Boleh Ragut Nyawa… Ketahui Punca, Lokasi ‘Panas’ & Cara Elak Kemalangan!
KENAPA KEBOCORAN ARUS ELEKTRIK BOLEH BERLAKU PADA PEMANAS AIR?

Gambar hiasan: Gemini AI
Susulan kejadian itu, seorang pengguna Facebook, Hazirah Hj Hamzah berkongsi penjelasan daripada suaminya yang merupakan wireman berlesen Suruhanjaya Tenaga mengenai bagaimana kebocoran arus elektrik boleh berlaku pada pemanas air.
Menurut Hazirah, kebocoran arus elektrik biasanya berlaku apabila alat pemanas air mengalami kerosakan dalaman. Secara normal, jika terdapat kebocoran arus sebelum air keluar, sistem keselamatan dalam pemanas air sepatutnya akan menghentikan operasi secara automatik.
Namun, risiko tetap boleh berlaku jika komponen keselamatan seperti ELCB rosak atau tidak berfungsi dengan baik. Lebih membimbangkan, arus elektrik adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, menyebabkan ramai pengguna tidak sedar bahaya yang sedang berlaku.
Cara meningkatkan keselamatan pada pemanas air
Tambahnya lagi, Bagi mengurangkan risiko kebocoran arus elektrik dan kejadian renjatan, terdapat beberapa langkah penting yang disarankan oleh pakar pendawaian elektrik untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan pemanas air di rumah:
- Pasang RCBO khas di papan agihan elektrik (DB)
Pemilik rumah digalakkan memasang satu lagi perlindungan tambahan iaitu RCBO khusus untuk pemanas air sahaja. Langkah ini dikenali sebagai “double protection” kerana ia memberikan lapisan keselamatan tambahan. - Pastikan sistem perlindungan berfungsi walaupun ELCB rosak
Jika ELCB dalam pemanas air gagal berfungsi atau rosak, RCBO di DB masih boleh bertindak memutuskan bekalan elektrik secara automatik. Ini sangat penting bagi mengelakkan kejadian renjatan elektrik yang boleh membahayakan nyawa. - Gunakan pendawaian dan spesifikasi yang betul
Pastikan pemasangan menggunakan kabel yang sesuai seperti kabel 4mm untuk pemanas air, serta dilakukan oleh wireman bertauliah. Spesifikasi yang tepat membantu sistem elektrik beroperasi dengan lebih selamat dan stabil.
Baca juga: AWAS Elak Litar Pintas, Pengguna Perlu Tahu 4 Jenis Wayar ‘Extension’ Ini Beza Fungsinya!
Jangan jimat kos bila melibatkan pendawaian elektrik
Menurut perkongsian tersebut, antara sebab ramai pengguna tidak memasang perlindungan tambahan seperti RCBO adalah kerana kos pendawaian yang lebih tinggi. Biasanya, pemasangan tambahan ini boleh meningkatkan kos sekitar RM700 hingga RM800 berbanding pendawaian asas yang lebih murah bagi kabel 2.5mm.
Namun begitu, pakar pendawaian menegaskan bahawa penggunaan kabel yang sesuai seperti kabel 4mm untuk pemanas air adalah sangat penting bagi memastikan sistem elektrik mampu menampung beban dengan selamat.
Kesilapan memilih pendawaian yang terlalu kecil atau tidak mengikut spesifikasi boleh meningkatkan risiko kebocoran arus, litar pintas dan seterusnya kemalangan serius.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat wireman bertauliah dan tidak sekadar memilih pemasang yang menawarkan harga paling murah tanpa mengambil kira aspek keselamatan.
CARA MUDAH UJI SAMA ADA ‘WATER HEATER’ MASIH SELAMAT DIGUNAKAN

Gambar hiasan: Gemini AI
Ramai yang tidak tahu sebenarnya terdapat cara mudah untuk menguji sama ada sistem keselamatan pemanas air masih berfungsi atau tidak tanpa perlu membuka penutup peralatan tersebut.
Langkah asas yang dikongsikan adalah seperti berikut:
- Hidupkan suis pemanas air dan pastikan air mengalir
- Tekan butang TEST pada pemanas air
- Pemanas air sepatutnya terus terputus bekalan elektrik
- Tekan semula butang RESET untuk menghidupkan semula sistem
Jika pemanas air tidak terputus selepas menekan butang TEST, ia mungkin menandakan sistem keselamatan tidak berfungsi dan perlu diperiksa segera oleh juruteknik bertauliah.
Kejadian seperti ini menjadi peringatan penting bahawa keselamatan elektrik di rumah tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi peralatan yang digunakan setiap hari seperti pemanas air. Langkah pencegahan awal mungkin nampak remeh, tetapi ia mampu menyelamatkan nyawa.
Baca juga: Ramai Tak Sedar Taktik Kecurian Dalam Pesawat, Buat 4 Tips Mudah Ini Untuk Pastikan Barang Selamat!
Semalam, media melaporkan, seorang jururawat berusia 46 tahun dari Hospital Tanah Merah dilaporkan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air di bilik mandi rumahnya di Kampung Pangkal.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 petang ketika menerima rawatan di Hospital Machang selepas dibawa oleh ahli keluarga.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Mohd Azman Yacob turut mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Sumber: Facebook Hazirah Hj Hamzah / Berita Harian
FT Image: Gemini AI
