Euforia Bola 2026
Asuh

Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Di Bilik Air, Sinki Pecah Ketika Panjat Untuk Buka Suis Pemanas Air

singki pecah

Satu tragedi menyayat hati berlaku di Cheras apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh kerana singki pecah ketika mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar.

Baca juga: Budak Hilang Selepas Tergelincir Di Sungai, Ditemukan Meninggal Dunia Tersangkut Pada Paip Pam Air

BUDAK 9 TAHUN MAUT KETIKA MANDI KERANA SINGKI PECAH

singki pecah

Foto: Threads @scnt555oul

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.01 malam daripada Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM selepas mangsa dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang ketika mangsa sedang mandi di bilik air rumahnya sebelum mengalami kecederaan.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik HCTM UKM bagi tujuan bedah siasat, manakala punca sebenar kematian masih dalam siasatan polis. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Singki pecah ketika mangsa panjat untuk buka suis pemanas air

singki pecah

Foto: Threads @dyra_zainal

Dalam perkongsian yang tular, ibu kepada rakan sekelas mangsa memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut dipercayai terjatuh di dalam tandas sebelum singki di bilik air pecah dan serpihannya terkena bahagian leher mangsa.

Difahamkan, mangsa dikatakan memanjat sinki untuk membuka suis pemanas air sebelum kejadian itu berlaku. Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung punca sebenar kecederaan masih menunggu hasil siasatan rasmi pihak berkuasa dan laporan bedah siasat.

Perkongsian itu turut mengundang rasa sebak ramai apabila si ibu menulis bahawa dia menerima khabar duka tersebut melalui Telegram kelas anaknya pada waktu pagi.

Pagi ni murung buka Telegram kelas anak. Rakan sekelas anak saya meninggal dunia malam tadi. Info yang si ibu beri, anak dia terjatuh di toilet, sinki pecah dan terkena leher anak. Al-Fatihah.”

Tragedi ini jadi peringatan soal keselamatan bilik air di rumah

Pemergian anak kecil dalam keadaan sebegini sememangnya sangat menyentuh hati.

Dalam masa yang sama, insiden ini juga menjadi peringatan buat ibu bapa dan penjaga supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan di dalam rumah, termasuk ruang yang sering dianggap biasa seperti bilik air.

Antara perkara yang wajar diberi perhatian termasuklah memastikan sinki atau rak dinding tidak dijadikan tempat berpaut atau dipanjat, meletakkan suis pemanas air pada kedudukan yang lebih selamat dan mudah dicapai, serta memantau anak-anak terutama jika mereka mandi sendirian.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan pemeriksaan berkala terhadap pemasangan sinki, rak, pemanas air dan permukaan lantai bilik air bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan yang tidak diduga.

Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.

Baca juga: Ramai Tak Sedar, Buang Lampin Pakai Buang Merata-Rata Boleh Kena Denda RM2,000 Di 8 Negeri Ini!

Sumber: Berita Harian dan Threads @dyra_zainal

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×