Puasa sunat Tarwiyah merupakan amalan yang disunatkan pada 8 Zulhijjah dan bagi umat Islam di Malaysia. Manakala, Hari Arafah pula jatuh pada 9 Zulhijjah di seluruh dunia.
Meskipun tiada amalan khusus yang disebut secara sahih, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari Tarwiyah dapat menghapuskan dosa selama setahun. Jadi, ikuti lebih lanjut penjelasan di bawah.
Baca juga: Pergilah Melancong Ke Mana Pun Tapi Jangan Tinggal 11 Barang Ini, Masa Solat Rasa Yakin
PUASA SUNAT TARWIYAH
KELEBIHAN HARI TARWIYAH
Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya mempunyai dua sebab penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah.
1. Mempersiapkan air Yatarowwaun ketika jemaah bermalam di Mina
- Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah.
- Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah.
- Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).
2. Nabi Ibrahim AS pertama kali bermimpi untuk sembelih anaknya
- Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buat kali yang pertama daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.
- Seharian Baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan.
- Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. [Lihat: al-Mughni, 3/249]
Berkaitan kelebihan hari ini, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun.
Manakala, berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.
Dikatakan bahawa Rasululah SAW telah bersabda,
صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ
Maksudnya: “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248].
Baca juga: “Neraka Bukan Bahan Jenaka”, PU Syed Kecam Konten Video Tular Didakwa Persenda Agama
NIAT PUASA SUNAT TARWIYAH (8 ZULHIJJAH)
نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala”
Makluman:
Para ulama berbeza pandangan dalam menilai hadis ini.
Sebahagian mereka menilai status hadis ini adalah dhaif sebagaimana yang dinilai oleh Imam al-Suyuthi dan juga Imam al-Busiri. Tambahan pula, terdapat perawi di dalam sanad hadis ini dianggap sebagai pendusta.
Sementara itu juga, terdapat perawi yang dinilai sebagai majhul (tidak dikenali). Hal ini kerana, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadis ini sebagai palsu dan begitu juga Imam al-Syaukani serta Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani.
Walaupun begitu, sebahagian ulama yang menilai hadis ini sebagai dhaif telah menjadikannya (hadis ini) sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah.
Hal ini kerana, sebahagian ulama membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadis yang dha’if (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal, selagi mana ia tidak berkaitan dengan permasalahan aqidah atau hukum.
Kesimpulan
Hari Tarwiyah merupakan hari yang kelapan di dalam bulan Zulhijjah dan tidak ada dinyatakan kelebihan yang khusus atau amalan yang khusus untuk dilakukan pada hari tersebut berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih.
Baca juga: Jemaah Haji Dilarang Bawa Pulang & Pos Air Zamzam Dari Makkah, Ini Sebabnya!
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: callforumrah

