“Saya baru saja pindah ke rumah ni. Asalnya nak minta izin pada jiran untuk robohkan dawai pagar tengah ni, dan nak ikat batu. Saya upah tukang buat tembok rumah sampai siap cat semua. Kemudian jiran cakap kita share bayar. Alhamdulillah…” kongsi netizen.
Begitulah indahnya rezeki bila dapat jiran yang baik, tak berkira, dan faham adab berjiran. Namun, tak semua kisah seindah ini. Ada juga pemilik rumah yang bertindak sendiri, ubahsuai kawasan rumah hingga ‘termakan’ tanah jiran atau bina tembok tanpa persetujuan. Akhirnya, bukan tembok yang naik, tapi hubungan yang runtuh.
Nak Naik Tembok Rumah Bila Hidup Berjiran? Ini Adab Yang Wajib Buat!

Foto: freepik
Hidup berjiran bukan sekadar duduk bersebelahan, tapi soal hormat, adab dan tolak ansur. Oleh itu, sebelum anda mula rancang nak naik tembok atau pagar batu, semak dulu perkara penting berikut:
1. Minta Izin Dahulu
Kalau rumah jenis teres berkongsi sempadan dengan jiran, sama ada di tepi atau belakang, pastikan anda minta izin dan berbincang terlebih dahulu. Jangan main redah kerana perlu hormat hak jiran walaupun itu sempadan rumah sendiri.
2. Bincang Kos, Reka Bentuk & Citarasa
Ada orang suka tembok batu tinggi dan bercat kilat, ada pula yang suka minimalis dan tak mahu habiskan duit. Jadi elakkan konflik dengan berbincang terlebih dahulu tentang bajet, kemasan, plaster dan rekaan. Jangan anda suka, jiran pula terbeban!
3. Pastikan Ada Modal Sendiri
Sebaiknya sediakan bajet penuh untuk keseluruhan projek. Kalau jiran nak berkongsi, itu satu bonus. Tapi jangan sampai harap jiran bayar separuh, padahal belum ada persetujuan pun.
4. Jangan Paksa Jiran Bayar
Walau macam mana pun, anda tak ada hak nak paksa jiran bayar sama rata kerana ini bukan pembahagian bil elektrik. Kalau mereka nak kongsi, itu tanda mereka ikhlas bukan tanggungjawab wajib.
5. Buat Dengan Kemas dan Sopan
Kalau dah naikkan tembok, pastikan buat kemasan dengan elok. Plaster dan cat sekali bahagian tembok menghadap rumah jiran menandakan kita ambil kira perasaan dan keselesaan mereka juga.
6. Jangan Termasuk Kawasan Jiran
Ini paling kritikal! Ukur betul-betul sebelum bina kerana kalau termasuk walau beberapa inci ke kawasan jiran, boleh jadi isu undang-undang. Elakkan perselisihan dari awal.

Foto: freepik
Akhir sekali peringatan untuk anda semua bahawa renovasi rumah memang seronok, tapi jangan sampai hubungan sesama jiran jadi mangsa. Hidup berjiran bukan sekadar duduk bersebelahan, tapi tentang bagaimana kita saling jaga hati dan saling memahami.
Baca juga: Tarif Elektrik Baharu Mulai Julai 2025, Ini Apa Anda Kena Tahu Kalau Nak Bil Bulanan MURAH!
Sumber: Mahanom Mohammad, Impiana
