Adab berjiran merupakan antara nilai penting dalam kehidupan bermasyarakat yang sering ditekankan, terutama dalam Islam. Namun dalam situasi tertentu seperti majlis kenduri atau rumah terbuka, isu kecil seperti tidak dijemput boleh menguji sejauh mana kita benar-benar memahami dan mengamalkan adab tersebut.
Lebih mencabar, bau masakan seperti rendang dan sate pula ‘menyelinap’ masuk ke dalam rumah, seolah-olah menguji kesabaran. Dalam hati, mungkin timbul rasa kecil hati, tertanya-tanya mengapa tidak dipelawa walaupun hanya sebagai tanda hormat sesama jiran.
Baca juga: Senarai Negara Paling Selamat Untuk Travel 2026 – Pilih Destinasi Betul, Baru Tenang Sepanjang Trip!
ADAB BERJIRAN BILA TAK DIUNDANG JAMUAN, INI CARA HADAP

Namun sebelum membuat sebarang andaian, ada baiknya kita memahami situasi ini dari dua sudut, sebagai jiran dan juga sebagai tuan rumah.
Hakikatnya, hubungan kejiranan memainkan peranan penting dalam situasi seperti ini. Jika sebelum ini jarang bertegur sapa atau tidak membina hubungan yang mesra, kemungkinan jiran berasa segan untuk menjemput.
Ada juga dalam kalangan kita yang cenderung mengelak interaksi, sekadar lalu dan terus masuk ke rumah tanpa sempat berbalas senyuman. Perkara kecil seperti ini sebenarnya memberi kesan dalam jangka masa panjang.
Dalam masa sama, pihak yang menganjurkan majlis juga perlu lebih peka terhadap persekitaran sekeliling. Walaupun sibuk melayan tetamu, jiran terdekat tidak seharusnya dilupakan.
Sekurang-kurangnya, hulurkan sedikit juadah sebagai tanda ingatan. Tidak perlu mewah, memadai sekadar berkongsi rezeki agar hubungan kejiranan terus terjaga. Ini kerana jiran adalah individu paling hampir yang akan membantu ketika susah dan senang.

Sentiasa bersangka baik dalam segala hal
Bagi pihak yang tidak dijemput, penting untuk mengamalkan sikap berlapang dada dan bersangka baik. Ada kemungkinan majlis tersebut mempunyai kekangan tertentu seperti jemputan terhad atau dikhaskan untuk kelompok tertentu seperti keluarga atau rakan sekerja.
Mengelakkan diri daripada terus berfikir negatif mampu membantu menjaga ketenangan emosi dan mengelakkan hubungan menjadi renggang.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Kesimpulannya, sama ada sebagai tuan rumah atau jiran, kedua-dua pihak memainkan peranan dalam memastikan hubungan kejiranan sentiasa harmoni.
Akhirnya, sikap saling memahami, bertolak ansur dan menjaga adab adalah kunci utama dalam membina komuniti yang harmoni dan sejahtera.
Baca juga: Gaya Kemas Rumah Rupanya Ikut Personaliti Jenis Darah? Golongan Darah A Dikatakan Paling ‘On Point’!
Sumber: Facebook Bahagian Dakwah, Jakim
