Ramai wanita hanya tahu makan pil perancang sebagai cara untuk elak mengandung, tapi sebenarnya ubat ini mempunyai banyak manfaat lain terhadap kesihatan hormon dan tubuh wanita.
Menurut perkongsian pakar obstetrik dan ginekologi, Dr. Imelda Balchin, pil perancang bukan sekadar membantu merancang keluarga, malah turut berfungsi mengurangkan senggugut, jerawat, serta risiko beberapa jenis kanser yang sering dialami wanita.
Baca juga: Ibu Terkejut Satu Badan Menggigil Selepas Bersalin, Nak Pegang Anak Pun Tak Larat! Rupanya Ini Punca
MAKAN PIL PERANCANG BUKAN HANYA CEGAH KEHAMILAN

Freepik
Ramai wanita menganggap pil perancang keluarga atau combined pil hanya berfungsi untuk mengelakkan kehamilan. Namun, menurut pakar obstetrik dan ginekologi, Dr. Imelda Balchin, ubat ini sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat kesihatan lain yang sering tidak disedari oleh wanita.
Dalam satu perkongsiannya di media sosial, Dr. Imelda menjelaskan bahawa pil perancang bukan sekadar untuk merancang keluarga tetapi juga membantu memperbaiki beberapa masalah kesihatan wanita secara menyeluruh.
Antara kelebihan utama pil perancang yang disebut adalah:
- Mengurangkan haid yang terlalu banyak
- Mengurangkan senggugut
- Mengurangkan risiko pembentukan fibroid
- Mengurangkan jerawat
- Mengaturkan kitaran haid yang tidak teratur
- Mengurangkan risiko kanser dinding rahim
- Mengurangkan risiko kanser ovari
- Mengurangkan risiko rheumatoid arthritis
- Mengurangkan risiko kanser usus besar
Menurut Dr. Imelda, ramai wanita tidak menyedari perubahan tubuh mereka selepas berhenti mengambil pil terutamanya apabila mereka beralih kepada kaedah pemandulan kekal seperti BTL (Bilateral Tubal Ligation) atau ikat peranakan.
“Jika dulunya anda makan pil dan mendapat manfaat seperti haid yang lebih teratur atau jerawat berkurang, apabila anda berhenti pil selepas buat BTL, semua manfaat itu akan hilang. Anda akan kembali seperti keadaan asal sebelum mengambil pil,” jelasnya.
Dia menegaskan bahawa BTL tidak menyebabkan haid menjadi banyak, tidak teratur atau jerawat naik semula. Apa yang berlaku sebenarnya adalah perubahan hormon semula jadi dalam badan setelah seseorang berhenti mengambil pil perancang.
Dr. Imelda turut mengingatkan wanita yang mempunyai masalah PCOS (Polycystic Ovary Syndrome) agar lebih peka terhadap perubahan tubuh selepas menjalani BTL.

Freepik
“Jika anda ada PCOS, haid tidak teratur dan jerawat banyak, annda mungkin masih memerlukan pil untuk manfaat lain seperti mengawal haid dan jerawat walaupun sudah tidak mahu mengandung lagi,” katanya.
Dia turut menambah bahawa peningkatan berat badan dan lemak badan juga boleh memburukkan keadaan jerawat bagi wanita PCOS.
“Walaupun sudah tidak mahu hamil, anda masih perlu menjaga berat badan, pemakanan sihat dan bersenam secara konsisten untuk kesihatan jangka panjang,” pesan Dr. Imelda.
Kesimpulannya, perkongsian ini membuka mata ramai wanita bahawa pil perancang keluarga bukan semata-mata untuk mengelakkan kehamilan, tetapi juga memberi banyak kelebihan kesihatan hormon dan reproduktif yang mungkin selama ini tidak diketahui.
Baca juga: Kajian Dedah Otak Wanita Mengecil Ketika Hamil, Ambil Masa 6 Bulan Untuk Kembali Normal!
Sumber: Facebook Dr Imelda Balchin
