Dalam banyak-banyak perkara, pesan nenek sering kekal di hati keluarga dan menjadi kenangan yang tak mudah dilupakan.
Itulah perkara yang dilakukan oleh seorang nenek bernama Noriam Saad, mesra dipanggil Am, semasa hayatnya yang sempat menitipkan “Wang mati saya…” sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuan keluarga.
“Wang Mati Saya…” – Pesan Nenek Sebelum Meninggal Dunia Diingati Cucu Selamanya

Pesan itu kini menjadi memori manis dan menyentuh hati cucunya, Hafeez Ruslan, yang berkongsi detik bersejarah itu di TikTok.
“Di hari pengebumiannya pada 22 Februari lalu, meja makan panjang yang pernah terisi dengan lauk pauk menjadi tempat jenazahnya dikafankan.
“Meja yang sama kami semua sembilan bersaudara bergelak bersuka ria sambil menikmati air tangan Am.
“Rasa pilu menyelubungi diri apabila teringat Am pernah bercerita dia menyediakan RM4,000 hasil keuntungan menjual wajik durian untuk membayar pengurusan jenazahnya,” kata Hafeez mengenang jasa neneknya.
Baca juga: Anak Usia 6 Tahun Dah Jalani 170 Kali Kimo Akibat Kanser Otak, Kini Rafa Alaudin Disahkan Buta
Detik akhir penuh keberkatan
Am, yang meninggal dunia pada usia 84 tahun, dikatakan tidak pernah mengadu sakit sepanjang berada di hospital. “Dia tak mengadu sakit, cuma kata penat,” ujar Hafeez.
Detik akhir hidupnya berlaku pada bulan Ramadan yang mulia, ketika seluruh ahli keluarga berkumpul mengiringi pemergiannya sambil membaca Surah Ar-Rahman.
Ketika mesin bacaan jantung menunjukkan hanya 30 peratus, mereka bersama-sama membaca ayat suci al-Quran. Seiring habisnya bacaan, mesin itu menunjukkan 0 peratus.
Hafeez berkongsi, “Saya pandang ibu yang berdiri di sebelah Am, kemudian ibu pandang saya semula. Tiba-tiba air mata mengalir deras di pipi. Masa itu saya sedar insan yang banyak berbakti kepada kami telah dijemput Ilahi.”

Tidak sanggup melihat tubuh neneknya yang sudah tidak bernyawa, Hafeez segera keluar dari wad ICU.
“Di luar wad saya menangis. Dada yang berdebar tadi berubah menjadi sempit dan sakit untuk menerima kenyataan Am pergi di depan mata,” katanya.
Hujan yang turun ketika dia mengimamkan solat jenazah seakan menjadi simbol perpisahan terakhir.
“Langit tumpahkan airnya ketika saya mengimamkan solat jenazah Am seolah-olah menangisi pemergiannya,” tambah Hafeez.
Baca juga: [VIDEO] Anak Murid Kelas ‘Belakang’ Hadiahkan Motosikal, Momen Cikgu Hidupkan Enjin Buat Ramai Sebak
Khidmat terakhir seorang nenek tercinta
Bagi Hafeez dan lapan lagi sepupunya, itulah khidmat terakhir mereka sebagai cucu kepada seorang nenek yang tidak pernah putus asa membesarkan anak serta cucu dengan penuh kasih sayang.
“Am bukanlah individu berpangkat besar. Am hanya tukang masak di kantin sekolah dan turut menoreh getah demi menyara keluarga. Namun akhlaknya menjadikan beliau disegani.
“Dia tak pernah marah budak-budak nakal, malah selalu nasihat mereka. Orang hormat Am bukan sebab pangkat, tapi sebab akhlaknya,” katanya lagi.
Sumber: TikTok @hafeez_ruslan03official / Sinar Harian
FT Image: TikTok @hafeez_ruslan03official
