Satu kisah menyentuh hati melibatkan seorang pengawal keselamatan tular bernama Abdul Malik Zakaria di media sosial, selepas dia menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat Isyak di sebuah surau di Johor Bahru.
Ramai yang menyifatkan pemergian tersebut sebagai husnul khatimah kerana berlaku ketika Allahyarham sedang menghadap Allah SWT dalam ibadah.
PENGAWAL KESELAMATAN MENINGGAL DUNIA KETIKA TAHIYAT AKHIR

Tangkap layar video TikTok Snower Rewons
Rebah ketika tahiyat akhir
Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hadir ke surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya seperti kebiasaannya untuk menunaikan solat.
Namun ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isyak, Allahyarham dilaporkan rebah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, pada Isnin lalu.
Detik tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau sebelum video berkenaan dikongsikan oleh anak saudaranya menerusi TikTok Snower Rewons. Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.
Keluar mencari rezeki seperti biasa
Menurut perkongsian ahli keluarga, Allahyarham keluar bekerja seperti hari-hari biasa untuk mencari rezeki halal buat keluarganya.
Tiada siapa menyangka hari tersebut menjadi hari terakhir buat pengawal keselamatan itu sebelum dijemput Ilahi dalam keadaan yang begitu menyentuh hati.
“Keluar bekerja mencari rezeki halal untuk keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.
“Arwah rebah ketika tahiyat akhir solat isyak, saat hati dan jasadnya sedang menghadap ALLAH SWT.
“Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanan hidupnya di dunia,” tulis pemilik akaun berkenaan.
Baca juga: Tular Keluarga Anak Cerebral Palsy Disuruh Turun Pesawat, AirAsia Mohon Maaf & Perkenal SOP Baharu

Gambar kiri: Sinar Harian
Allahyarham dikenali cintakan rumah Allah
Turut meninggalkan komen pada video tersebut ialah anak Allahyarham, Noramalina yang berkongsi sifat-sifat baik bapanya sepanjang hayat.
Menurutnya, antara perkara yang paling diingati mengenai pengawal keselamatan itu ialah kecintaannya terhadap rumah Allah. Selagi diberikan kesihatan, beliau akan berusaha hadir ke masjid atau surau berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah.
Selain itu, Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang suka membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan, menghormati ibu bapa dan sentiasa mengutamakan keluarga.
Undang sebak warga maya
Ruangan komen media sosial dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada orang ramai yang tersentuh dengan kisah pemergian Allahyarham.
Ada yang menyifatkan ia sebagai “penutup cerita yang sempurna”, manakala ramai lagi berharap agar dikurniakan pengakhiran hidup yang baik seperti mana yang dialami oleh pengawal keselamatan tersebut.
Walaupun ajal adalah rahsia Allah SWT, kisah ini menjadi peringatan bahawa setiap insan pasti akan kembali kepada-Nya. Apa yang tinggal hanyalah amalan baik dan kenangan yang ditinggalkan kepada keluarga serta masyarakat.
Semoga Allahyarham Abdul Malik Zakaria ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan segala amal kebaikannya diterima di sisi Allah SWT.
@snowerrewonsKeluar bekerja mencari rezeki yang halal buat keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai. Arwah rebah ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isya, saat hati dan jasad sedang menghadap Allah SWT pada 15/6/26. Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanannya di dunia. Seorang insan yang menghabiskan harinya mencari nafkah untuk keluarga, dan mengakhiri kehidupannya dalam ibadah kepada Tuhan di surau JPJ Taman Daya JB. Semoga setiap titik peluh yang dicurahkan demi keluarga menjadi amal jariah yang berterusan, dan semoga Allah menerima segala amal kebaikannya, mengampuni segala khilafnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba yang beriman dan beroleh rahmat. Pergi dalam keadaan yang sedang mengingati Allah, satu pengakhiran yang menjadi dambaan ramai. Al-Fatihah buat arwah paksu, ABDUL MALIK BIN ZAKARIA🤍♬ original sound – 𝕜𝕚𝕟𝕘𝕤𝕡𝕒𝕕𝕖𝟝𝟚𝟜𝟙™
Sumber: TikTok Snower Rewons
FT Image: TikTok Snower Rewons
