Tahun 2026 menyaksikan pelbagai dasar dan pelaksanaan baharu yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia. Daripada perubahan jadual tren, sistem pendidikan, undang-undang digital, alam sekitar, kebajikan rakyat sehinggalah kepada pelarasan gaji dan bantuan kewangan…semuanya sudah mula berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026.
Jom kita cakna dan fahami antara 28 perubahan penting yang bakal membentuk cara kita bergerak, belajar, bekerja, berhubung dan berbelanja tahun 2026 ini.
Baca juga: Ini Senarai Lengkap Pelepasan Cukai 2025 Yang Boleh Jimat Ribuan Ringgit, Rugi Kalau Tak ‘Claim’!
TAHUN BAHARU, PERUBAHAN BAHARU UNTUK RAKYAT MALAYSIA…INI 28 PERKARA PENTING KENA AMBIL TAHU

Foto hiasan Envato via TVS.
1. Jadual Baharu KTM Komuter Lembah Klang
Pengguna KTM Komuter perlu bersedia dengan jadual perjalanan baharu, selaras dengan kemajuan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT Fasa II). Perubahan ini dijangka meningkatkan kecekapan dan kelancaran operasi tren.
2. Sistem DPP Untuk Pelarian
Kerajaan memperkenalkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sebagai sistem pendaftaran rasmi bagi menangani isu keselamatan serta pengurusan pelarian di negara ini.
3. Had Umur Belia Dikurangkan
Had umur belia Malaysia kini ditetapkan 15 hingga 30 tahun, selari dengan Dasar Belia Malaysia dan amalan antarabangsa.
4. Media Sosial Dianggap Berdaftar
Platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet yang mempunyai lebih 8 juta pengguna akan dianggap berdaftar secara automatik, bagi meningkatkan keselamatan digital dan akauntabiliti platform.
5. Pelawat Taman Laut Wajib Bawa Pulang Sampah
Bagi mengurangkan pencemaran laut dan ancaman mikroplastik, pengunjung taman laut diwajibkan membawa pulang sampah sendiri.
6. Kaedah Bayar Saman Baharu
Konsep “The Less You Delay, The Less You Pay” diperkenalkan — bayaran saman trafik yang dibuat lebih awal akan menikmati kadar kompaun lebih rendah, melibatkan penyelarasan antara JPJ dan PDRM.
7. Kemasukan MRSM & SBP Diselaras
Bermula sesi 2026, pelajar hanya akan menerima SATU tawaran sahaja sama ada MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP), bagi mengelakkan pertindihan tempat.
8. Larangan Kenderaan Berat Di Jambatan Angkat Terengganu
Kenderaan melebihi 5 tan dilarang menggunakan jambatan angkat Terengganu demi keselamatan dan perlindungan struktur.
9. Tambahan Perkhidmatan ETS Selatan
KTMB menambah empat lagi perkhidmatan ETS sektor selatan, menjadikan lapan perjalanan harian bagi laluan KL Sentral – JB Sentral.
10. Pelarasan Harga Pas RapidKL
Harga pas perjalanan RapidKL akan diselaraskan selaras dengan perkembangan rangkaian dan keperluan memastikan perkhidmatan lebih mampan.
11. Aktiviti Terhad E-Invois
Tiga lagi sektor disatukan di bawah larangan pengeluaran e-Invois bagi transaksi jualan barang dan perkhidmatan melebihi RM10,000, selain industri elektrik dan telekomunikasi.
12. Khidmat Masyarakat Untuk Kesalahan Buang Sampah
Pesalah kesalahan kecil buang sampah boleh dikenakan Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan sebagai pendidikan sivik.
13. Johor Perkenal Caj Kembara
Johor melaksanakan Caj Kembara melalui Enakmen Hotel Johor 2025 bagi meningkatkan disiplin operasi hotel dan industri pelancongan.
14. Kenderaan Rekreasi (RV) Boleh Dilesenkan
RV kini dibenarkan dilesenkan secara komersial di seluruh negara untuk tujuan sewaan dan pelancongan.
15. Perjanjian Laut Lepas PBB Berkuat Kuasa
Perjanjian pemuliharaan biodiversiti marin di kawasan luar bidang kuasa negara PBB berkuat kuasa 2026, selepas mencapai 60 ratifikasi.
16. Pulau Pinang Naikkan Cukai Tanah
Hampir 370,000 pemilik tanah di Pulau Pinang terlibat dalam semakan kadar cukai tanah yang dibuat setiap 10 tahun.
17. Pusat Beli-Belah Wajib Sediakan Fasiliti Kitar Semula
Sebagai syarat pelesenan PBT, pusat beli-belah diwajibkan menyediakan kemudahan kitar semula.
18. Kalendar Perayaan Etnik Minoriti
Buat julung kali, Kementerian Perpaduan Negara menerbitkan kalendar rasmi perayaan etnik minoriti sebagai usaha memperkukuh perpaduan.
19. SPRM & Syarat BMI
Anggota SPRM yang obes atau gagal memenuhi Indeks Jisim Badan (BMI) ditetapkan tidak layak untuk kenaikan pangkat.
20. Institusi Pendidikan Swasta Dikecualikan Levi
Semua institusi pendidikan swasta dikecualikan levi latihan selama setahun bagi memberi tumpuan kepada peningkatan mutu pendidikan.
21. Dana Inovasi Media RM30 Juta
Permohonan Dana Inovasi Media dibuka 1–14 Januari 2026 bagi mempercepat transformasi digital industri media.
22. Pelarasan Gaji Fasa 2 SSPA
Penjawat awam menerima pelarasan gaji Fasa 2 bermula 22 Januari:
- Kumpulan Pelaksana & P&P: +7%
- Kumpulan Pengurusan Tertinggi: +3%
Langkah ini dijangka memberi impak positif kepada perbelanjaan isi rumah.
23. Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Seramai 5.2 juta murid sekolah kerajaan menerima BAP RM150 dengan peruntukan RM800 juta, bermula 11 Januari 2026.
24. Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)
VM2026 bertemakan “Malaysia Truly Asia” dan “Surreal Experiences” dijangka melonjakkan sektor pelancongan negara.
25. Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA)
Berkuat kuasa 1 Januari, OnSA menekankan perlindungan pengguna terutama kanak-kanak bawah 13 tahun, serta kawalan penipuan siber dan ancaman deepfake.
26. Pelepasan Cukai Pelancongan Domestik
Individu layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan domestik.
27. Gaji Hakim Dinaikkan
Kenaikan 30% gaji hakim dilaksanakan selepas hampir sedekad, kali terakhir pada 2015.
28. Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Sebanyak RM100 akan disalurkan kepada 22 juta rakyat dewasa pada pertengahan Februari, melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi persiapan Ramadan dan Tahun Baharu Cina.

Foto: freepik
Kesimpulannya, tahun 2026 bukan sekadar tahun baharu, tetapi titik perubahan besar dalam dasar, kebajikan dan cara hidup rakyat Malaysia. Dengan memahami perubahan ini lebih awal, kita boleh membuat perancangan yang lebih bijak dan bersedia menghadapi tahun mendatang.
Baca juga: Oh Ada Rupanya! Golongan Bujang Kini Terima Bantuan SARA RM600 Setahun Ganti STR, Ini Cara Semak
