Pengalaman seorang pelancong Malaysia di China mencuri perhatian ramai selepas dia mendakwa berdepan beberapa situasi yang kurang menyenangkan sebaik tiba di negara itu.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita berkenaan mendakwa bukan sahaja menerima layanan yang kurang baik di lapangan terbang, malah pemandu e-hailing yang dinaikinya turut menunjukkan video tular melibatkan seorang wanita Malaysia.
PELANCONG MALAYSIA RASA MALU, GARA-GARA VIDEO RAKYAT MALAYSIA YANG TULAR DI CHINA

Dakwa pemandu Didi tunjuk video wanita Malaysia yang tular
Perkongsian tersebut kemudian menjadi bualan warga maya apabila ramai berkongsi pandangan mengenai imej rakyat Malaysia ketika melancong ke luar negara.
Menerusi hantaran oleh pengguna Threads @jaja.az, wanita itu mendakwa pemandu Didi memainkan video memaparkan seorang wanita Malaysia yang didakwa menjadi bualan ramai di platform TikTok versi China.
Menurutnya, situasi itu membuatkan dia berasa malu kerana tindakan seorang individu seolah-olah memberi tanggapan negatif terhadap rakyat Malaysia.
“Weh, baru sampai China, pemandu Didi tunjuk video perangai si perempuan tak tahu malu tu yang meletup satu China dekat TikTok versi mereka. Malu pula rasa kita sebagai rakyat Malaysia yang datang ke China ni,” tulisnya.
Baca juga: Hanya Kerana Tak Suka Orang Gemuk, Lelaki Bertindak Serang Wanita Guna Pisau Pemotong!

Gambar: Threads @jaja.az
Sudah berdepan pengalaman kurang menyenangkan semasa di imigresen
Wanita itu turut mendakwa pengalaman kurang menyenangkan sebenarnya bermula sebaik dia tiba di lapangan terbang.
Menurutnya, dia menerima layanan yang kurang baik daripada pegawai imigresen selepas mengetahui dia berasal dari Malaysia. Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan secara terperinci bentuk layanan yang dimaksudkan.
Dalam hantaran susulan, wanita itu meminta orang ramai supaya tidak bertelagah di ruangan komen.
Menurutnya, dia tidak berniat memburukkan China atau mempertahankan mana-mana pihak. Sebaliknya, dia hanya berkongsi pengalaman yang didakwanya berlaku sepanjang berada di negara itu.
Wanita itu turut menjelaskan bahawa kejadian di lapangan terbang berlaku terlebih dahulu sebelum insiden bersama pemandu e-hailing.
Baca juga: PU Syed Kesal Individu Hantar 20Kg Daging Korban Yang Berbau Ke Madrasah, Akhirnya Terpaksa Ditanam
Warga maya beri pelbagai reaksi
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya. Ada yang berpendapat tindakan segelintir individu boleh menjejaskan imej pelancong dari Malaysia di mata masyarakat luar.
Dalam masa yang sama, ada juga yang berpandangan bahawa perbuatan seseorang tidak seharusnya dijadikan gambaran terhadap keseluruhan rakyat Malaysia.
Setakat ini, dakwaan yang dikongsikan wanita tersebut adalah berdasarkan pengalaman peribadinya ketika berada di negara Tembok Besar itu.
Nota penulis: Artikel ini dibuat dengan kebenaran pemilik cerita.
Sumber: Threads @jaja.az
FT Image: Threads @jaja.az
