Kanak-kanak yang sering bermain permainan video ganas tanpa pengawasan ibu bapa berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental, ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, dunia digital masa kini membuka ruang yang luas kepada kanak-kanak untuk terdedah kepada pelbagai bentuk pengaruh dalam talian termasuk kandungan permainan yang boleh menggugat kestabilan emosi serta perkembangan mental mereka.
Baca juga: Ismanira Didapati Bersalah, Mahkamah Putuskan Ibu Zayn Rayyan Abaikan Anak…
PERMAINAN VIDEO GANAS BOLEH GANGGU MENTAL ANAK

“Masalah kesihatan mental boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Namun, kanak-kanak adalah golongan rentan yang memerlukan perhatian, empati dan sokongan masyarakat,” katanya.
Dr Dzulkefly menjelaskan, tekanan emosi, keresahan dan kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja apabila berdepan tekanan hidup.
Oleh itu, beliau menegaskan pentingnya masyarakat memberi ruang kepada individu yang mengalami gangguan mental untuk mendapatkan rawatan sewajarnya, bukannya dihukum atau disisih.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani isu kesihatan mental, termasuk melalui talian bantuan Hotline 15555 serta pelaksanaan Program K-Mindset.

“Program K-Mindset ini menerima peruntukan sebanyak RM21.6 juta bagi melatih pemimpin komuniti seperti ketua kampung, penghulu dan tokoh agama supaya mereka dapat mendekati serta membantu individu berisiko di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Terdahulu, beliau turut merasmikan Karnival Paru-Paru & Minda Sihat 2025 yang diadakan bersama Program Rahmah Mesra Santuni MADANI, sebahagian daripada usaha kementerian memperkukuh Inisiatif Kesihatan Paru-Paru (LHI).
Inisiatif nasional itu bertujuan memperluas saringan, rawatan awal dan kesedaran masyarakat mengenai penyakit paru-paru seperti COPD, asma, kanser paru-paru serta bahaya rokok elektronik atau vape. Program LHI kini diperluas ke seluruh negara melalui kerjasama antara sektor awam, swasta dan komuniti setempat.
Baca juga: Ibu Zayn Rayyan Ke Penjara Kajang Hari Ini, Suami Jerit Biar Allah Laknat Kamu Semua!
Sumber: Harian Metro
