Euforia Bola 2026
Inspirasi

Cinta 2 Benua, Wanita Kongsi Pengalaman Raya Di Bumi United Kingdom Bersama Suami Mualaf

perkahwinan campur

Seperti kisah dalam filem romantic-comedy‘ Hollywood, begitulah juga kisah salah seorang wanita yang dikenali ramai di laman Tiktok dengan nama @CtAishaJourney. Kisah perkahwinan campur yang sering dikongsikan sering kali mendapat perhatian pengikut setianya di Malaysia yang tertanya-tanya mengenai cerita cinta hidupnya.

Jadi, sempena Salam Perantauan 2025 dari Sirap Limau, kami dapat menemu bual secara ringkas bersama Puan Aisah dan suaminya, Encik Gavin yang kini menetap di United Kingdom.

Baca juga: Indahnya Berbuka Puasa Di Jeddah, Pilot Kongsi Pengalaman Berpuasa Selama 18 Jam!

PERKAHWINAN CAMPUR DUA BENUA, CIPTA MEMORI INDAH SETIAP KALI RAMADAN & RAYA

perkahwinan campur

Foto: Puan Aisah & Encik Gavin

Puan Siti Nor Aisah, 38 dan Encik Muhammad Gavin Tiffen, 58 telah berkenalan hampir 9 tahun dan baru mendirikan rumah tangga selama 2 tahun. Pasangan yang boleh dikategorikan sebagai ‘pengantin baharu’ ini menetap di Essex, United Kingdom kira-kira satu jam perjalanan dari bandar utama London.

Wanita yang berasal dari Mersing, Johor ini seringkali memukau pengguna di laman Tiktok dengan aktiviti hariannya seperti berkebun di halaman rumahnya yang begitu indah sekali. Mempunyai lebih dari 200 ribu pengikut media sosial, Puan Aisah sebelum ini pernah bekerja dalam Oil and Gas selama enam tahun dan dalam bidang perbankan selama 5 tahun sebelum berkahwin dengan suaminya yang bekerja sebagai Heating Engineer.

Menceritakan kembali detik-detik perkenalan bersama suami yang agak unik, mereka bertemu di Phuket, Thailand semasa masing-masing tengah bercuti secara solo.

“Masa itu saya terpijak landak laut dan kaki saya bengkak. Saya pun memutuskan nak tukar hotel sebab hotel yang saya menginap terlalu jauh. Jadi saya cuba dapatkan hotel yang dekat dengan bandar jika apa-apa berlaku kepada saya. Waktu saya jalan keluar dari hotel saya terjumpa Gavin. Dia tanya kenapa dengan saya lalu offerkan diri untuk membawa saya ke hotel baru kerana di kawasan saya duduk agak sukar mendapatkan public transport. 

“Sampai di hotel, receptionist cakap bilik saya tak siap lagi jadi saya pun pergi minum dengan Gavin dan dia ajak saya makan malam. Seperti yang  dijanjikan saya pun tunggu Gavin dekat tempat yang kami plan nak jumpa tetapi Gavin tak datang. Saya pun pulang ke bilik dengan perasaan yang agak kecewa kerana terasa dipermainkan,” cerita Puan Asiah dengan nada ketawa.

Rupa-rupanya, dia tersalah tempat menunggu dan ini menjadikan perkenalan mereka berdua terhenti seketika dan tidak berhubung kerana keesokkan harinya Puan Aisah perlu pulang ke Malaysia. Namun, jodoh pasti bertemu apabila selepas 9 bulan, Encik Gavin menghubunginya untuk memastikan hubungan kembali bertaut.

Syukur, perkahwinan berbeza agama ini tidak mendapat tentangan dan semuanya direstui oleh keluarga masing-masing. Malah, Encik Gavin memberitahu bahawa proses untuk dia mengucapkan dua kalimah Syahadah pun tidak sukar dan terima dengan hati terbuka.

Kini, mereka turut menjalankan perniagaan import dan export barangan berkualiti dari United Kingdom ke Malaysia berdasarkan permintaan dari pengikut di laman Tiktok Puan Aisah sendiri.

AJAR SUAMI BERPUASA DI USIA 57 TAHUN

perkahwinan campur

Foto bersama keluarga Puan Aisah di Malaysia.

Menyentuh mengenai kisah Ramadan dan Syawal, Puan Aisah yang mempunyai suami berbeza pemahaman dari segi budaya, ternyata bukanlah tugas yang mudah untuk dirinya ‘memperkenalkan’ apa itu berpuasa, bersahur, solat tarawih dan sambutan Aidilfitri.

Malah, bagi diri Encik Gavin yang baru mula berpuasa di usia 57 tahun, ini ibarat seorang kanak-kanak kecil yang baru mula dilatih untuk berpuasa. Waktu berpuasa di United Kingdom tidak banyak berbeza dengan Malaysia iaitu selama 13-14 jam juga namun, cuaca sejuk yang kering membuatkan mereka lebih dahaga. Oleh itu, dia akan melatih suaminya untuk berpuasa sekurang-kurangnya 8 jam sehari sehingga betul-betul berjaya.

Bukan itu sahaja, pada awal Ramadan baru-baru ini mereka turut sempat pulang ke kampung halaman Puan Aisah di Mersing dan cuaca panas terik sudah semestinya menjadi dugaan utama!

TAHUN PERTAMA KAHWIN RAYA DI PERANTAUAN

Raya 2024 bersama jiran-jiran warga Malaysia.

Walaupun baru masuk tahun kedua berpuasa dan raya bersama suami, Puan Aisah turut menyelitkan pengalaman yang menyayat hati apabila buat pertama kali tidak pulang beraya di Malaysia pada tahun pertama perkahwinannya iaitu 2024.

Tiada rakan-rakan di sekeliling tempat tinggal, pertama kali di negara orang dan pertama kali mendidik suami tentang Islam merupakan cabaran untuk dirinya.

Dia mengakui bahawa suasana Hari Raya di sana agak suram kerana jauh dari bandar. Namun, dia menguatkan semangat untuk mencari kenalan orang Malaysia yang tinggal berhampiran untuk menghidupkan suasana raya itu dengan mengadakan ‘open house’ mereka sendiri.

Apa yang menggembirakan dirinya untuk tahun ini adalah, dia dan suami akan pulang beraya di Malaysia selama sebulan dan ini merupakan pengalaman pertama buat suaminya untuk merasai Aidilfitri dengan lebih mendalam.

Sudah pasti akan riuh sekampung apabila Puan Aisah membawa pulang suami ‘mat salleh’ beraya bersama!

*Terima kasih diucapkan kepada Puan Aisah dan Encik Gavin kerana berkongsikan kisah cinta dan hidup mereka untuk dibaca oleh pengikut Sirap Limau. Kita boleh nantikan video-video menarik dari Puan Aisah di Hari Raya nanti untuk menyaksikan gelagat suaminya bersama keluarga di Malaysia.

@ctaisha_journey Yang mana selalu tertanya-tanya, macam mana kami berkenalan… Video ni special untuk korang yang selalu ada dengan I time live and selalu dengar benda yang sama berkali-kali..so lepas ni kalau live, orang tanya I boleh suruh refer video ni… Love from Aisha&Gavin #tiktokcouple #kawincampur #EastMeetWest #MsiaVSUk ♬ original sound – CtAisha Journey

Amaran: Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman website yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

Baca lagi: Leia Mayssa Berjaya ‘Tembus’ MIT, Anak Tempatan Kebanggaan Ramai Sambung Belajar Di Pusat Berprestij Dunia!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×