Terbaharu, tiga ladang ternakan babi di daerah Sepang dan Kuala Langat disita selepas dikesan berlaku jangkitan penyakit demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF).
Menurut Majlis Keselamatan Negara, Demam Babi Afrika (ASF) ialah penyakit berjangkit babi yang dahsyat, dan biasanya membawa maut. Sehingga hari ini belum ada vaksin untuk memerangi virus ini.
Baca juga: Statistik ‘Dedah’ 10 Jenis Kanser Tertinggi Dalam Kalangan Rakyat Di Malaysia, Seram!
PENYAKIT DEMAM BABI AFRIKA DIKESAN DI DAERAH SEPANG DAN KUALA LANGAT

Foto: Freepik
Menurut laporan Harian Metro, Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, ia dikesan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 29 ladang ternakan di kawasan itu susulan aduan yang diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS) pada 22 Januari lalu.
“Bertindak atas maklumat, pada 24 dan 25 Januari lalu, DVS Selangor memeriksa ladang yang menempatkan anggaran 25,000 ekor babi di sekitar Sepang dan Kuala Langat bagi mengesahkan kejadian penyakit berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dan analisis sampel, didapati berlaku jangkitan ASF di tiga ladang yang menempatkan lebih 2,000 babi iaitu dua di Sungai Blankan, Sepang dan sebuah ladang di Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat.
“Kesemua ladang ternakan itu disita pada 28 Januari dan 1 Februari lalu yang mana setakat ini 920 ekor babi sudah dilupuskan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, penyakit ASF adalah penyakit bukan zoonotik iaitu penyakit yang tidak menjangkiti manusia dan hanya menyerang babi domestik dan babi liar. Katanya, jangkitan virus berkenaan akan menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari ke atas ternakan babi yang terjangkit.
Lebih menggerunkan, ini adalah kali pertama dapat kesan ASF pada babi yang hidup di Selangor yang mana sebelum ini ia dikesan hanya pada karkas babi.
“Pemeriksaan akan dilaksanakan di ladang ternakan pada radius satu kilometer daripada ladang yang disita untuk mengesan jika ada ternakan yang positif ASF.
“Jika virus ini dikesan pada seekor babi, keseluruhan ternakan itu akan dilupuskan bagi mengelak ia menjangkiti babi di ladang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Izham mengingatkan penternak babi di Selangor untuk terus berwaspada, meningkatkan dan mengetatkan biosekuriti ladang babi masing-masing bagi mengekang penularan penyakit ASF.
“Orang awam khususnya penternak diminta segera melaporkan sebarang kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PVD) atau Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor,” katanya.
*Hati-hati semua!
Baca juga: Makan Ubat Tak ‘Jalan’, Bapa Ini Kongsi Cara Buat Pes Bawang Putih + Herba Untuk Sapu Di Badan
Sumber: Freepik (foto), Harian Metro, Majlis Keselamatan Negara
