Pengorbanan suami isteri sering menjadi bukti kasih sayang dan tanggungjawab dalam keluarga. Setiap ujian dan rintangan yang diberikan oleh Allah SWT itu pasti ada hikmahnya. Baru-baru ini, tular satu video di TikTok memaparkan kisah keluarga kecil ini yang buat netizen sebak.
Video berdurasi 38 saat itu merakam momen menyentuh hati seorang anak yang tidak dapat menahan tangis ketika menyambut kepulangan ayahnya yang pulang dari kerja.
Baca juga: Meninggal Dunia Selepas 7 Hari Dirempuh Pemandu Mabuk, Darna Tinggalkan 5 Anak Masih Bersekolah!
PENGORBANAN SUAMI ISTERI TERPAKSA BERASINGAN DENGAN ANAK

TikTok @adriannamaleeq
Di ruangan kapsyen, pemegang akaun TikTok yang dikenali sebagai @adriannamaleeq menceritakan pengorbanan mereka suami isteri yang terpaksa tinggal berasingan dengan anak buat masa sekarang kerana beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.
Jarak rumah yang jauh dengan sekolah anak
Duduk di kawasan pedalaman menjadi salah satu sebab keluarga ini terpaksa duduk berasingan. Seperti yang dijelaskan di dalam kapsyen, jarak rumah ibu saudara atau ‘makteh’ kanak-kanak tersebut jauh lebih dekat dengan sekolah berbanding rumah mereka.
Anak perempuan mereka hanya boleh tinggal bersama ibu, ayah dan adiknya untuk tiga hari seminggu, selebihnya dia akan menginap di rumah ibu saudaranya.
Selain itu, @adriannamaleeq juga menceritakan suaminya tidak boleh menghantar dan mengambil anaknya pulang dari sekolah kerana mengalami masalah kenderaan.
“Kakak dipaksa matang sebelum usia. Mulanya memang susah nak bagi kakak faham tapi lama-lama kakak dah boleh terima keadaan. Alhamdulillah, makteh dan pakteh pun jaga kakak macam anak sendiri sebab itu kakak dapat sesuaikan diri” jelasnya.

TikTok @adriannamaleeq
Warga maya mahu hulur bantuan
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya termasuk influencer meluahkan keinginan untuk membantu pasangan suami isteri ini. Mereka juga menawarkan untuk memberi bantuan kewangan serta kenderaan.
“Saya ada motor lebih, tak guna pun! Ada van pun tak guna. Akak kalau nak dm tau.
“Akak saya bagi motor, nak?
“Mana nak dapatkan QR akak ini ya?
“Netizen Malaysia ini memang kaya. Kaya harta dan budi bahasa. Semoga kita semua dimurahkan rezeki.
“Ramainya orang baik dalam komen ini. Semoga dimurahkan rezeki selalu akak dan keluarga,” ujar warga maya.
Malah, ada juga yang mendoakan dimurahkan rezeki untuk mereka sekeluarga.
“Tak mampu nak bagi motor tapi mampu untuk berdoa. Ya Allah. Angkatlah darjat keluarga ini. Cukupkanlah rezeki mereka sekeluarga, berkatilah dan rahmatilah keluarga kecil ini. Melimpah-ruah rezeki buat mereka seperti air zamzam yang tidak pernah putus. Aamiin,” doa seorang warga maya.
Terharu dengan sokongan orang ramai
Kehadiran warga maya yang baik hati ini sekali gus membuatkan pemilik video terkejut.
“Terima kasih tak terhingga pada yang sudi doakan saya. Demi Allah saya bergetar. Ramai orang yang sangat baik, sanggup DM saya sebab nak bantu saya dan suami baiki motor. Tak terbalas satu-persatu komen kalian semua. Ya Allah, besar sungguh bantuan dari Mu.
“Insha Allah, saya akan buat sebaik dan semampunya. Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan kalian dunia akhirat dan melimpahkan rezeki yang takkan pernah putus. Aamiinn Yaa Rabbal Alaminnn,” ujar @adriannamaleeq.
Semoga keluarga ini mendapat bantuan yang diperlukan, terus kuat menghadapi dugaan dan sentiasa dilindungi Allah SWT.
@adriannamaleeq dalam kehidupan .. kadang2 , apa yg kita buat tu , belum tentu mmg yg kita nak .. tapi asbab keadaan memaksa , kita lalui jelaa dengan redha .. sebab apa ? Sebab Allah dah janji , selepas hujan mesti akan ada pelangi .. semoga dengan berkat kesabaran kita 4 beranak , Allah hadir kan yg indah2 saje lepas nie .. Semoga setiap pengorbanan kita , Allah nampak .. Aamiinn Yaa Rabb 🤲🏼 kisah nyaa , kakak seminggu 3 kali jee duduk dengan ibu , baba dan adik .. selebih nyaa duduk dengan makteh .. sebab rumah makteh dekat dengan sekolah .. malam nie pulak baba balik kerja lewat .. kakak dah rindu sgt .. dari dia sampai tadi dah sibuk tanya baba.. baba x boleh nak anta dan ambik kakak sekolah buat masa nie , asbab mslh kenderaan .. jarak rumah dan sekolah jauh pulak jauh sebab duduk kawasan pedalaman .. jadi terpaksa bekorban dengan cara duduk asing begini .. kakak di paksa matang sebelum usia .. mula2 mmg struggle nak bagi kakak faham .. tapi lama2 kakak dah boleh terima keadaan .. alhamdulillah makteh dan pakteh pun jaga kakak mcm anak sendiri .. sebab tu kakak dpt sesuai kan diri .. xde parents yg nak duduk berjauhan dengan anak2 .. tapi andai itu yg Allah dah tetap kan .. kami redha .. insyaallah ada rezeki 1 hari nanti , boleh duduk sama2 lagi 🥰 #fyp
Sumber: TikTok @adriannamaleeq
FT Image: TikTok @adriannamaleeq
