Euforia Bola 2026
Suami Isteri

“Saya Sempat Jadi Suami 2 Hari Sahaja” – Pengantin Perempuan Dijemput Illahi, Maut Dalam Kemalangan

Detik indah yang baru bermula berakhir dengan tragedi apabila pengantin perempuan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, hanya dua hari selepas disatukan sebagai isteri yang sah.

Itulah ujian berat yang perlu ditanggung Irfan Syabil Ibrahim, 23, apabila isterinya, Nur Ain Izayu Rosli, 28, menghembuskan nafas terakhir akibat kemalangan di Tanah Merah, Kelantan.

Baca juga: Jadual Penuh Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa 1447H/2026M Untuk Rujukan Semua

PENGANTIN PEREMPUAN MAUT SELEPAS 2 HARI BERKAHWIN

PENGANTIN PEREMPUAN

Dalam kejadian itu, Nur Ain disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala Irfan mengalami patah kaki kiri.

Pasangan berkenaan baru sahaja melangsungkan pernikahan pada 31 Januari, sebelum kebahagiaan yang diimpikan diragut sekelip mata.

Menurut Irfan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pekan, Pahang, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan pendaftaran perkahwinan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

“Apabila masuk kawasan kampung, tiba-tiba pandangan saya jadi gelap. Saya langsung tidak sedarkan diri dan tidak nampak apa-apa sebelum kereta terbabas lalu menghentam konkrit longkang,” katanya.

Akibat perlanggaran kuat itu, Nur Ain mengalami kecederaan serius dan Irfan hanya tersedar selepas dibantu orang awam dan sempat melihat isterinya muntah darah serta bernafas dengan kuat sebelum keadaan menjadi senyap.

“Saya tersepit dalam kereta dan tidak mampu berbuat apa-apa. Masa itu saya masih berharap dia boleh diselamatkan kerana denyut nadinya masih ada.

PENGANTIN PEREMPUAN

“Saya minta orang ramai segera bawa isteri ke hospital. Dalam hati saya fikir mungkin Allah masih beri peluang,” katanya sebak.

Namun harapan itu tidak kesampaian apabila pihak hospital memaklumkan isterinya meninggal dunia sebaik tiba dan ditempatkan di Zon Merah.

“Sukar digambarkan perasaan saya. Dua hari sebelum itu kami masih bergelak ketawa sebagai suami isteri. Saya hanya sempat bergelar suami selama dua hari. Walaupun singkat, saya tetap bersyukur Allah izinkan saya merasai nikmat itu,” katanya.

Susulan tragedi tersebut, majlis perkahwinan di pihak lelaki di Pahang yang sepatutnya berlangsung pada 15 Februari ini terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil.

Irfan kini masih berada di Tanah Merah dan mengambil kesempatan menziarahi pusara isterinya sekerap mungkin bagi menenangkan hati yang dilanda rindu.

Irfan turut berkongsi beberapa perkara yang dianggap sebagai petanda apabila arwah secara tiba-tiba memilih pakaian berwarna putih pada hari kejadian, sedangkan sebelum itu merancang untuk mengenakan pakaian hitam.

“Malah tema pernikahan kami juga putih. Semua arwah yang tentukan, termasuk pakaian dan inai. Dia juga pernah menyebut mahu tinggal jauh daripada keluarga selepas berkahwin. Waktu itu saya tak faham maksudnya, tapi selepas kejadian ini, terasa seperti arwah sudah memberi bayangan,” katanya.

Baca juga: Harga Terkini Kos Bersalin Di Hospital Kerajaan Dari Kelas 1 Hingga Kelas 3, ‘Save’ Untuk Rujukan!

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×