Menerusi perkongsian seorang pengguna media sosial, pengalaman urus jenazah seorang ibu yang meninggal dunia selepas bersalin menjadi satu detik yang sukar dilupakan.
Kisah ini berlaku pada 1 Disember 2025, ketika pengguna berkenaan menerima panggilan daripada seorang ustazah untuk ke hospital bagi membantu proses mandi jenazah. Ketibaan di bilik mayat diiringi suasana sayu dan hening, dengan kehadiran waris terdekat yang tidak mampu menahan perasaan sedih mereka.
Baca juga: Kehebatan Di Sebalik Takhta, Ini 5 Sultan Di Malaysia Dengan Latar Pendidikan & Kerjaya Luar Biasa!
PENGALAMAN URUS JENAZAH IBU SELEPAS BERSALIN, BAU HARUM

Jenazah ibu muda itu meninggal dunia akibat tumpah darah semasa bersalin, manakala bayi yang dilahirkan selamat dan kini ditempatkan di NICU.
Perkongsian ini menekankan betapa pengalaman pertama memandikan jenazah wanita begitu meninggalkan kesan emosi yang mendalam, lebih-lebih lagi apabila mengetahui arwah merupakan ibu kepada anak pertama selepas 10 tahun menanti kehadiran si kecil.
Sepanjang proses, pengguna itu menceritakan rasa ringan semasa mengangkat jenazah serta haruman wangi yang keluar dari tubuh arwah, walaupun memakai penutup mulut.
“Tiba-tiba hidung saya tercium bau harum! Walaupun saya pakai mask jelas hidung saya berbau wangian itu dan saya kenal wangian ni. Wangian yang sama pernah saya hidu di beberapa tempat. Tapi kali ni pertama kali dalam bilik jenazah. Seketika badan saya rasa meremang,” jelasnya.
Suasana hening dan tenang itu diiringi tangisan waris yang tidak terluah kata, bunyi air paip mencurah, serta ketenangan yang sukar digambarkan.
Proses memandikan dan mengkafankan jenazah berjalan lancar, wajah arwah tampak tenang, berseri dan seolah-olah sedang tidur.

Bau kapur barus yang bersatu dengan wangian semula jadi menambahkan rasa damai kepada semua yang terlibat. Keseluruhan urusan selesai hanya dalam masa kira-kira 22 minit, menunjukkan kelancaran dan kemudahan urusan jenazah tersebut.
“Selesai semuanya waris bersalaman dengan kami semua dan mak arwah nampak kesedihannya. Dia peluk saya lama, saya pun cakaplah ini semua takdir dan doakan arwah. Mak arwah angguk dan berlalu pergi. Jenazah pun di sorong keluar dari bilik mandi dan di bawa ke bilik solat. Terdengar raungan suara lelaki, saya yakin itu suami arwah,” tambahnya lagi.
Pengguna itu turut menyatakan rasa insaf dan terharu sepanjang pengalaman tersebut, menyedari betapa besar nikmat Allah yang sering terlupa. Perkongsian ini bukan sahaja menyentuh hati ramai, malah menjadi pengajaran tentang menghargai pengorbanan seorang ibu, menghormati jenazah, dan menerima ketentuan Ilahi dengan reda.
Sumber: Tukang Mandi Jenazah
