Seorang wanita berkongsi pengalaman mendebarkan apabila dia bersalin dalam kereta ketika dalam perjalanan ke hospital. Lebih mencemaskan, kejadian itu berlaku dalam keadaan jalan raya sesak dan kenderaan yang dinaiki pula bukan milik sendiri.
Menurut perkongsiannya, tarikh jangkaan bersalin (EDD) adalah pada 9 Januari 2026. Namun si kecil memilih untuk hadir lebih awal, iaitu pada 3 Januari 2026 ketika usia kandungan mencecah 39 minggu satu hari.
Baca juga: Anak Sulung Amyza Aznan Meninggal Dunia, “Minta Semua Sedekahkan Al-Fatihah Untuk Dia…”
BERSALIN DALAM KERETA KETIKA MAKAN KURMA, ANAK MELUNCUR KE BAWAH

Beberapa hari sebelum bersalin, dia dan suami melakukan perjalanan jauh dari Perlis ke Johor Bahru. Keletihan perjalanan jauh dan urusan berulang-alik suami tidak langsung memberi petanda bahawa detik kelahiran sudah begitu hampir.
Pada pagi 3 Januari, sebaik sahaja suaminya memaklumkan sudah tiba di terminal bas Johor Bahru, dia mula merasai kontraksi setiap 10 minit.
Walaupun kesakitan semakin kerap, wanita itu masih sempat mandi, menyediakan termos air panas dan mengemas beg pakaian untuk ke hospital.
Dalam keadaan kelam-kabut, mereka bergegas keluar untuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI). Malangnya, kereta sendiri enggan dihidupkan walaupun cuba dijumper.
Akhirnya, rakan suami menawarkan kenderaan miliknya untuk digunakan segera. Ketika itu, si ibu sudah berjalan dalam keadaan menahan sakit yang semakin memuncak.
Dalam perjalanan ke hospital, ketuban pecah sekitar jam 10.40 pagi. Suami memasang lampu kecemasan, membunyikan hon dan cuba mencari laluan di tengah kesesakan jalan raya.

Tidak sampai 10 minit kemudian, si ibu memberitahu bayi seakan-akan mahu keluar dan dalam detik yang tidak disangka-sangka, bayi tersebut terus ‘meluncur’ keluar lalu jatuh ke bahagian kaki ibunya di dalam kereta.
Suami yang panik segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum mengangkat bayi dan meletakkannya di riba si ibu.
Dalam keadaan cemas itu, mereka terserempak dengan anggota polis bermotosikal. Tanpa berlengah, suami meminta bantuan dan polis berkenaan segera mengiringi mereka ke hospital sambil membuka laluan.
Sekitar jam 11 pagi, mereka tiba di perkarangan dewan bersalin. Doktor segera memotong tali pusat bayi sebelum si ibu dibawa masuk ke dalam wad bersalin.
Walaupun baru sahaja melahirkan anak di dalam kereta, wanita itu masih mampu bergerak sendiri ke katil rawatan dengan bantuan petugas perubatan.
Wanita tersebut menzahirkan rasa syukur kerana segala urusan dipermudahkan dan bayi dilahirkan dalam keadaan sihat.
Pengalaman bersalin dalam kereta untuk anak keenam ini pastinya menjadi kenangan paling luar biasa dalam hidupnya kerana bantuan pantas orang sekeliling yang memastikan keselamatan ibu dan bayi terjamin.
@puterryezzah Cerita 3/365 2026 #terimakasih #Alhamdulillah #fyp #baby
Sumber: TikTok Putery Ezzah
